BERITA TERKINI   Liga Super: DPMM 0-5 Terengganu | 

1MDB: JPMorganChase Akan Bayar Penyelesaian RM1.4 Bilion Kepada Kerajaan - MOF

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Kerajaan dan JPMorganChase telah menyelesaikan semua perkara berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan bank Amerika itu akan membayar RM1.4 bilion (US$330 juta) kepada Akaun Amanah Pemulihan Aset Malaysia, kata Kementerian Kewangan (MoF).

“Perjanjian penyelesaian itu menyelesaikan semua tuntutan sedia ada dan berpotensi serta mengikat kedua-dua pihak daripada sebarang tuntutan atau litigasi pada masa depan berkaitan 1MDB,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

MoF berkata setiap pihak juga akan menarik balik semua rayuan yang belum selesai berkaitan dengan tuntutan mahkamah yang sebelum ini difailkan oleh 1MDB terhadap J.P. Morgan (Switzerland) Ltd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan mengumumkan sejak Akaun Amanah Pemulihan Aset ditubuhkan pada Disember 2018, kerajaan telah berjaya mendapatkan semula sejumlah RM29.7 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd dengan RM10.9 bilion didapatkan semula dari tempoh 2022 hingga 30 Jun 2025.

-- BERNAMA