Konsortium Citaglobal-Masdar Disenarai Pendek Untuk Projek Solar 200MW Di Pahang
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Sebuah konsortium yang terdiri daripada anak syarikat milik penuh Citaglobal Bhd, Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) telah disenarai pendek untuk membangunkan loji fotovoltaik solar berskala besar (LSS).
Konsortium berkenaan disenarai pendek oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia untuk projek LSS dengan kapasiti 200 megawatt (MW) di Empangan Chereh, Kuantan, Pahang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Citaglobal berkata konsortium berkenaan menerima surat pemberitahuan tertakluk kepada beberapa terma dan syarat tertentu, termasuk pelaksanaan perjanjian pembelian tenaga solar selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd.
“Loji berkenaan juga dijadualkan memulakan operasi komersial pada 30 November, 2027,” katanya.
Apabila siap, loji di Empangan Chereh akan menjadi kemudahan tenaga solar terapung terbesar di Asia Tenggara, mengatasi loji Solar Terapung Cirata berkapasiti 145 MW arus ulang-alik (MWac) di Indonesia, yang dibangunkan oleh Masdar dan PT PLN Nusantara Power.
Meliputi kira-kira 303.51 hektar permukaan air, loji di Empangan Chereh akan mempunyai kapasiti penjanaan melebihi 300 MW puncak (MWp) dan dijangka menghasilkan purata 433 gigawatt-jam (GWh) tenaga elektrik bersih setiap tahun yang mampu membekalkan tenaga kepada lebih 100,000 rumah di Malaysia.
-- BERNAMA