Malaysia Pamer Kekuatan Pembuatan, MRO Kereta Api Di ARCEOs 2025
KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Keupayaan Malaysia dalam pembuatan dan penyelenggaraan kereta api menjadi tumpuan utama pada Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Kereta Api ASEAN (ARCEOs) 2025, apabila delegasi melawat SMH Rail Sdn Bhd di Klang dan M Rail Technics Sdn Bhd (Railtec) di Seremban.
Persidangan selama lima hari yang diadakan dari 8 hingga 12 September, menghimpunkan pemimpin-pemimpin kereta api ASEAN untuk meneroka strategi dan penyelesaian inovatif yang dikongsi bersama dalam menangani cabaran perniagaan, teknikal dan operasi.
Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Naib Pengerusi ARCEOs 2025, Afzar Zakariya berkata lawatan ke Klang amat penting memandangkan SMH Rail juga merupakan rakan rasmi strategik persidangan itu.
“Pemilihan SMH Rail sebagai lokasi lawatan adalah bermakna kerana ia menunjukkan Malaysia mempunyai syarikat tempatan yang berkeupayaan menghasilkan lokomotif dan gerabaknya sendiri.
“Ini membuktikan industri kereta api negara tidak hanya bergantung kepada sumber luar, tetapi mampu berdiri kukuh dengan keupayaan, kepakaran dan inovasi sendiri,” katanya kepada pemberita semasa lawatan itu.
Para delegasi menyaksikan sendiri pembuatan kenderaan rel SMH Rail serta keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO). Lawatan itu menampilkan pelbagai inovasi termasuk pembangunan lokomotif dan gerabak baharu yang mencerminkan kemajuan industri kereta api Malaysia.
Afzar berkata lawatan itu jelas mencerminkan semangat tema ARCEOs 2025, “Driving Innovation, Connecting Borders”.
“Apa yang telah ditunjukkan oleh SMH Rail merupakan bukti jelas inovasi dan kepakaran tempatan boleh memberi manfaat besar bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga kepada rangkaian kereta api ASEAN yang lebih luas,” tambahnya.
Selepas program di Klang, Ketua Pegawai Eksekutif Kereta Api ASEAN dan rombongan mereka meneruskan lawatan ke Railtec di Seremban yang juga satu lagi rakan rasmi strategik ARCEOs 2025.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB dan Pengerusi ARCEOs 2025 Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata pemilihan Railtec menonjolkan kekuatan dan kebanggaan industri kereta api negara.
“Malaysia memiliki syarikat tempatan yang berkeupayaan menyediakan perkhidmatan MRO Tahap 4 tertinggi dalam penyelenggaraan kereta api. Semasa lawatan itu, para delegasi berpeluang menyaksikan keupayaan penyelenggaraan mendalam Railtec termasuk sistem MRO terkini,” katanya.
Ahmad Nizam berkata kepakaran yang dipertontonkan di Railtec mencerminkan inovasi dan kecemerlangan Malaysia, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pasaran domestik tetapi juga menunjukkan potensi kukuh di peringkat serantau ASEAN.
“Saya yakin lawatan delegasi ASEAN ini akan membuka lebih banyak peluang untuk memperkukuh industri kereta api serantau dan seterusnya meningkatkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa,” tambah beliau.
-- BERNAMA