BERITA TERKINI   Liga Super: JDT 8-0 Sabah FC | 

Untung Bersih EcoWorld Naik Kepada RM101.17 Juta Pada Suku Ketiga 2025

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM101.17 juta bagi suku ketiga yang berakhir pada 31 Julai, 2025 daripada RM80.44 juta bagi suku yang sama tahun lepas.

Kumpulan pembangunan hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, hasil meningkat kepada RM761.93 juta daripada RM526.22 juta sebelumnya terutamanya disebabkan oleh penyatuan penuh keputusan kewangan Paragon Pinnacle Sdn Bhd dalam suku semasa.

Bagi tempoh sembilan bulan bagi tahun kewangan 2025, keuntungan bersih kumpulan naik kepada RM311.35 juta daripada RM220.12 juta pada tahun sebelumnya manakala hasil melonjak kepada RM2.18 bilion daripada RM1.62 bilion sebelumnya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Datuk Chang Khim Wah dalam satu kenyataan berkata kumpulan itu melepasi sasaran jualan bagi tahun kewangan 2025 sebanyak RM3.5 bilion, dan mencapai RM3.84 bilion dalam tempoh 10 bulan tahun kewangan 2025.

“Projek-projek kami di Iskandar Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar kepada jualan kumpulan setakat tahun ini dengan RM1.99 bilion diikuti Lembah Klang sebanyak RM1.47 bilion dan Pulau Pinang sebanyak RM378 juta,” katanya.

Chang berkata segmen kediaman terus menjadi tunjang kepada prestasi kumpulan yang menyumbang sebanyak RM2.08 bilion sehingga 31 Ogos, 2025.

Penjualan rumah bertanah di bawah Eco Townships melebihi jualan penuh tahun kewangan 2024 kumpulan dengan RM1.39 bilion direkodkan dalam tempoh 10 bulan, tambah beliau.

Chang juga menekankan prestasi jualan yang kukuh oleh EcoWorld berjaya mengekalkan kedudukan hasil masa depan kumpulan pada tahap tinggi iaitu sebanyak RM5.14 bilion sehingga 31 Ogos, 2025.

Beliau berkata nisbah tahap hutang bersih kumpulan pada 31 Julai, 2025 adalah 0.53 kali, disokong oleh baki tunai yang tinggi termasuk deposit dan dana jangka pendek sebanyak RM1.70 bilion.

“Kedudukan kewangan kumpulan yang aktif membolehkan kami terus memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham untuk suku ketiga tahun kewangan 2025, menjadikan jumlah dividen terkumpul setakat tahun ini sebanyak lima sen sesaham.

“Perancangan strategik kami untuk mengembangkan asas pendapatan berulang juga sedang berjalan dengan baik,” katanya.

-- BERNAMA