AEM Ke-57: Persiapan Akhir Lancar, Sedia Sambut Lebih 500 Delegasi
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Persiapan bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di ibu negara yang bermula esok, kini berjalan lancar dengan pelaksanaan beberapa sentuhan akhir bagi memastikan kelancarannya.
Sebanyak 20 mesyuarat serta program sampingan dijangka berlangsung sepanjang tempoh 22-26 Sept ini dengan kehadiran lebih 500 delegasi dari negara anggota ASEAN serta rakan dialog.
Tinjauan Bernama di lokasi penganjuran iaitu Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), mendapati para petugas bertungkus-lumus melakukan persiapan terakhir menjelang sidang mesyuarat yang bermula esok.
Sementara itu, ketika ditemui, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Mastura Ahmad Mustafa berkata beliau berpuas hati dengan persiapan bagi AEM dan mesyuarat berkaitannya, setakat ini.
“Persediaan itu hampir 80 peratus dan kita harap esok (delegasi) dapat hadir dan mesyuarat dimulakan dengan lancar sekali,” katanya.
Tidak ketinggalan, pasukan Sekretariat Media turut melakukan kerja-kerja akhir pemasangan peranti elektronik dan internet di Pusat Media Antarabangsa (IMC) bagi kemudahan petugas media terbabit.
Penyelaras Pusat Media Antarabangsa (IMC) merangkap Ketua Sekretariat Media Zaria Mohd Nasri berkata kira-kira 300 pengamal media daripada agensi berita tempatan dan antarabangsa dijangka hadir membuat liputan.
“Setakat ini, kerja-kerja pemasangan telah 95 peratus siap dan dijangka selesai sepenuhnya petang ini. Pasukan sekretariat juga telah memulakan gerak kerja bagi mesyuarat pertama yang akan berlangsung esok iaitu Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN (SEOM).
“Pasukan pendaftaran media juga giat membuat persediaan bagi pengambilan pas liputan oleh pengamal media pada kira-kira 4 petang tadi. Secara keseluruhannya, persiapan untuk esok berjalan lancar,” katanya.
Pada masa sama, pasukan sekretariat turut menyediakan meja temu bual media dan bantuan bagi kemudahan dan kelancaran tugas pengamal media mendapatkan maklumat.
Zaria berkata Bernama atau Pertubuhan Berita Nasional Malaysia telah dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Pelaburan, Perladangan dan Industri bagi menguruskan persiapan pusat media berkenaan.
Selain Malaysia, ASEAN turut dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala rakan-rakan dialog ASEAN termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
-- BERNAMA