BERITA TERKINI   Setiap keluarga terjejas teruk akibat ribut di Pantai Dalam akan terima bantuan awal RM5,000 dan keperluan asas - Fahmi | DBKL dan JBPM akan nilai semula keselamatan struktur blok PPR Seri Cempaka susulan kebocoran serta serpihan kaca akibat ribut - Fahmi | Empat unit rumah PPR Seri Cempaka, Pantai Dalam alami kerosakan serius, 30 kenderaan terkesan akibat ribut - Fahmi  | Meta, platform media sosial wajib ambil tanggungjawab pastikan kandungan langgar undang-undang segera diturunkan - Fahmi | Platform media sosial diminta perkenal mekanisme pengesahan umur, identiti lebih berkesan bagi halang kanak-kanak bawah umur buka akaun - Fahmi | 

15 Daripada 18 Inisiatif Ekonomi ASEAN Dijangka Dicapai Menjelang Oktober Ini

Oleh Ahmad Erwan Othman

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Malaysia yakin dapat mencapai 15 daripada 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang disasarkan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.  

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Mastura Ahmad Mustafa berkata daripada 18 inisiatif yang ditetapkan Malaysia tahun ini, satu telah selesai sepenuhnya manakala lapan lagi hampir mencapai sasaran.

PED yang diterajui oleh Malaysia akan mendorong integrasi ekonomi serantau dalam usaha merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

“Kami yakin daripada 18 itu, 15 akan berjaya dilaksanakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, manakala baki tiga lagi dijangka dapat diselesaikan menjelang penghujung tahun,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan Ekonomi (Prep-SEOM) ,di sini, hari ini.

Mastura berkata lapan PED yang hampir mencapai sasaran itu antaranya penandatanganan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 (ACFTA) dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) baharu yang akan disahkan pada Sidang Kemuncak ASEAN nanti.

Beliau berkata perbincangan hari ini hanya melibatkan negara anggota ASEAN sahaja dan semua pihak berkongsi pandangan serta persefahaman yang sama mengenai isu ekonomi serantau.

Dalam pada itu, Mastura berkata mesyuarat Prep-SEOM di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini turut memberi tumpuan kepada 10 agenda utama termasuk status pelaksanaan PED yang menjadi komitmen Malaysia sepanjang tahun ini.

Terdahulu Mastura mempengerusikan mesyuarat Prep-SEOM itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Komuniti Ekonomi ASEAN Satvinder Singh serta wakil Timor-Leste ke ASEAN Augusto Jr Trindade.

ASEAN terdiri daripada 10 negara anggota, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

— BERNAMA