BERITA TERKINI   Jaguh para badminton negara Cheah Liek Hou pertahan gelaran juara perseorangan lelaki SU5 pada Kejohanan Para Badminton Dunia 2026 di Bahrain hari ini | Tan Sri Noh Omar umum letak jawatan Ahli MPT Bersatu berkuat kuasa hari ini | PM Anwar umum peruntukan tambahan RM20 juta bagi pembaikan dan naik taraf SMJKC seluruh negara ikut keperluan | 

Malaysia Perlu Realistik Harungi Landskap Ekonomi Global Semasa - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Malaysia perlu realistik dalam mengharungi landskap ekonomi global semasa memandangkan kedudukannya sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka selain memiliki hubungan kukuh dengan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata nisbah perdagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia melebihi 200 peratus dengan China sebagai rakan dagang terbesar negara manakala AS sebagai pasaran eksport terbesar.

“AS juga merupakan pelabur terbesar di Malaysia dalam tempoh lima tahun lepas diikuti China. Kedua-dua ekonomi ini merangkumi 45 peratus daripada KDNK dunia dan anda tidak boleh mengabaikan kedua-duanya,” katanya dalam satu klip yang dikongsi di X hari ini.

Tengku Zafrul menekankan Malaysia mesti terus berhubung dengan kedua-dua kuasa berkenaan sambil mengekalkan prinsip multilateralisme dan pemusatan ASEAN.

Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia baru-baru ini menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN bersama rakan dialog utama termasuk AS, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

“Malaysia percaya kepada pendekatan yang melibatkan semua pihak, namun setiap keputusan mesti berlandaskan prinsip kita sendiri.

“Konsistensi dalam dasar perdagangan, pelaburan dan hubungan luar memudahkan rakan-rakan kita memahami pendirian Malaysia,” kata Tengku Zafrul.

-- BERNAMA