BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

MIDA, MEIF Meterai MoU Untuk Perkukuh Jentera Dan Ekosistem Kejuruteraan

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Persekutuan Industri Jentera dan Kejuruteraan (MEIF) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan ekosistem jentera dan kejuruteraan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata kerjasama itu menekankan keperluan untuk kerajaan dan sektor swasta bekerjasama dalam memperkukuh industri tersebut.

“MIDA dan MEIF akan mewujudkan platform berstruktur untuk bekerjasama bagi memenuhi cita-cita Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan agenda pelaburan domestik Malaysia.

“Perkongsian itu akan mengutamakan pembangunan ekosistem, penggunaan teknologi, kemampanan, kemudahan pelaburan dan hubungan yang lebih kukuh antara industri, kerajaan dan institusi penyelidikan,” kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata sektor jentera di Malaysia kekal asas kepada pangkalan pembuatan dan kerjasama dengan MEIF akan membantu memacu fasa pertumbuhan sektor itu yang seterusnya.

“Kami melihat tanda-tanda menggalakkan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia sudah bersedia untuk menerima teknologi termaju dan apa yang mereka perlukan ialah sokongan berstruktur untuk bersaing secara berkesan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi.

“Menerusi perkongsian ini, kami boleh membina kekuatan sedia ada sektor itu dan melengkapkan jurutera dan juruteknik kita dengan keupayaan yang diperlukan oleh pasaran global,” katanya.

Sikh Shamsul berkata menyelaraskan kepakaran industri dengan sumber daripada kerajaan akan membantu sektor jentera dan kejuruteraan Malaysia menarik bahagian lebih besar dalam pelaburan pembuatan serantau kerana syarikat mencari pembekal boleh dipercayai yang lebih dekat dengan pasaran utama.

Presiden MEIF Mac Ngan Boon berkata MoU itu menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan peranan industri jentera dan kejuruteraan dalam pertumbuhan Malaysia.

“Selama beberapa dekad, industri kita telah menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan negara, dan hari ini kami terpanggil untuk memperkukuh rantaian bekalan tempatan, menerima teknologi baharu dan mempersiapkan PKS kita untuk bersaing di pentas global.

“Dengan MIDA sebagai rakan strategik, MEIF yakin kami dapat membantu menempatkan jentera dan industri kejuruteraan Malaysia sebagai tonggak transformasi industri di bawah NIMP 2030,” katanya.

-- BERNAMA