BERITA TERKINI   PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | Kementerian Komunikasi junjung titah Raja Permaisuri Agong mahu keselamatan kanak-kanak, remaja di alam maya diberi perhatian serius pihak berkuasa - Fahmi | 

Belanjawan 2026 Pupuk Pertumbuhan Mampan, Bertanggungjawab - Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 memupuk pertumbuhan yang mampan dan bertanggungjawab, memperkasa rakyat untuk menjana kekayaan dan menggalakkan kepelbagaian — semua ini merupakan faktor utama untuk maju sebagai sebuah masyarakat progresif, kata Bursa Malaysia Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Fad’l Mohamed memuji pendirian kerajaan yang proaktif dan bertanggungjawab dalam memperkukuh daya tahan ekonomi dan meningkatkan daya saing sektor pertumbuhan sambil mengimbangi disiplin fiskal.

“Dengan pelaburan berjumlah RM550 juta daripada Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) ke dalam ekosistem semikonduktor Malaysia untuk mengukuhkan kerjasama antara perniagaan tempatan dan syarikat multinasional, Bursa Malaysia optimis langkah ini akan memperdalam rangkaian industri dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global.

“Selain itu, Bursa Malaysia memuji tumpuan kerajaan terhadap pertumbuhan yang dipacu teknologi, khususnya melalui Geran Pemecut Digital Malaysia yang memperuntukkan RM53 juta untuk mempercepat penggunaan teknologi baru muncul,” katanya.

Fad’l menambah bahawa peruntukan sebanyak RM40 juta melalui syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bersama komitmen Ekuinas untuk mengembangkan dan meningkatkan syarikat penerima pelaburannya, akan membangunkan lebih banyak perniagaan Bumiputera yang berdaya saing.

Bursa Malaysia berharap untuk bekerjasama rapat dengan rakannya dan memudahkan syarikat-syarikat ini melalui pelbagai saluran dan perkhidmatan pengumpulan dana yang ditawarkannya.

“Kami bersedia menjadi platform pengumpulan dana untuk semua perniagaan dan pasaran yang menjadi pilihan utama untuk para pelabur,” katanya.

-- BERNAMA