BERITA TERKINI   10,000 peniaga di bawah seliaan DBKL terima pengurangan kadar sewaan tapak 50 peratus hingga 2027 - Hannah Yeoh | Jemaah haji perlu kekalkan disiplin, patuhi peraturan di Tanah Suci, jaga nama baik Malaysia - Sultan Sharafuddin | Sultan Selangor nasihatkan bakal jemaah haji kawal perbelanjaan di Tanah Suci terutama dalam situasi ekonomi dunia tidak menentu | 

Gamuda Perkukuh Peralihan Tenaga Bersih ASEAN Dengan Kepakaran Kejuruteraan

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Gamuda Bhd, kumpulan kejuruteraan serantau, sedang berusaha memenuhi peningkatan permintaan terhadap tenaga bersih dengan memanfaatkan keupayaan kejuruteraannya untuk menyiapkan projek tenaga boleh baharu (RE) berskala besar dengan pantas. 

Pengarah Urusan Gamuda Engineering Justin Chin Jing Ho berkata peralihan tenaga bersih ASEAN adalah pemacu ekonomi yang kukuh bagi rantau ini.

“Oleh itu, Gamuda komited untuk memainkan peranan penting dengan menggunakan kepakaran kejuruteraan dan pembangunan menyeluruh kami untuk menyiapkan infrastruktur tenaga boleh baharu yang kritikal yang akan menyokong pertumbuhan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan ASEAN diunjurkan menyumbang 25 peratus daripada pertumbuhan permintaan tenaga global menjelang 2035, operasi serantau Gamuda berkedudukan baik untuk membantu menggerakkan momentum itu.

Beliau berkata Gamuda memanfaatkan kepakarannya dalam pembinaan dan infrastruktur, menggunakan keupayaan yang sama dalam kejuruteraan awam, reka bentuk, pengurusan projek dan pemodelan kewangan menerusi pengalamannya selama berdekad-dekad menyiapkan projek infrastruktur mega, untuk membina aset transmisi solar, angin dan hidro berskala besar di seluruh rantau.

Pada Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025, Gamuda mempamerkan portfolio tenaga boleh baharunya yang pelbagai dan berkembang pesat, dengan projek di seluruh Malaysia, Australia dan Taiwan.

-- BERNAMA