BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Pasaran Getah Dijangka Tidak Banyak Berubah, Cenderung Meningkat Minggu Depan

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami dagangan yang tidak banyak berubah dengan kecenderungan meningkat serta sentimen berhati-hati kalangan peniaga, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata turun naik kadar pertukaran mata wang asing yang ketara akan memberi kesan besar terhadap harga getah sekali gus menimbulkan dilema kerana punca lazimnya berkait dengan geopolitik, bukannya keadaan ekonomi sebenar.

“Selain itu, Jabatan Meteorologi Thailand (TMD) telah mengeluarkan amaran ribut bagi kawasan selatan Thailand berikutan jangkaan hujan lebat. TMD juga menasihatkan orang ramai supaya berwaspada memandangkan keadaan ribut melanda Thailand.

“Di Malaysia pula, Jabatan Meteorologi meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menjelaskan laporan mengenai ketegangan perang perdagangan Amerika Syarikat-China hari ini dijangka memberi kesan negatif kepada pasaran getah minggu depan.

Bagaimanapun, prospek positif industri automotif global dan jangkaan terhadap peningkatan pengeluaran di China mungkin dapat merangsang permintaan, sekali gus mendorong harga untuk meningkat.

“Momentum kenaikan ini ditambah dengan keadaan cuaca di negara pengeluar sarung tangan terus memberi tekanan kepada bekalan, dan juga akan mendorong kenaikan harga. Berdasarkan semua faktor pasaran ini, dagangan minggu depan mungkin mengalami prestasi mendatar.

“Harga getah juga akan sangat dipengaruhi oleh niaga hadapan getah serantau, turun naik harga minyak mentah yang menjadi penanda aras serta pergerakan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat sepanjang minggu depan,” menurutnya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan bagi getah fizikal Lembaga Getah Malaysia untuk getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) susut tiga sen kepada 736.7 sen sekilogram manakala lateks pukal menguncup lima sen kepada 569 sen sekilogram.

-- BERNAMA