Pasaran Getah Ditutup Tinggi Untuk Hari Ketiga Berturut-turut
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur meneruskan trend meningkat apabila ditutup tinggi untuk hari ketiga berturut-turut, dipacu oleh perkembangan positif dalam sektor hiliran domestik, kata peniaga.
Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau berkata kebimbangan yang berlarutan mengenai bekalan di Thailand telah meningkatkan sentimen pasaran.
“Bagaimanapun, kenaikan itu sebahagiannya dihadkan oleh harga minyak mentah yang lemah dan pengukuhan ringgit dalam keadaan ketidaktentuan dasar monetari Amerika Syarikat,” katanya.
Menurut peniaga, kilang tayar pintar Prinx Chengshan Holdings bernilai RM2.6 bilion di Kedah Rubber City menunjukkan bahawa terdapat permintaan jangka panjang terhadap produk domestik di samping mewujudkan 1,056 pekerjaan bernilai tinggi.
“Sementara itu, Agensi Meteorologi Thailand turut melaporkan jangkaan hujan lebat dan kemungkinan berlakunya banjir kilat di Selatan Thailand bermula 19 hingga 22 November,” katanya.
Menurutnya niaga hadapan getah Jepun turut meningkat untuk sesi kesembilan berturut-turut, yang menunjukkan kebimbangan mengenai bekalan global.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 naik 2.0 sen kepada 735 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat 1.0 sen kepada 575.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA