BERITA TERKINI   PH kesal tindakan 14 ADUN UMNO / BN Negeri Sembilan, sifatkan tidak hayati semangat Kerajaan Perpaduan - Fahmi | Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Biobahan Api ditubuhkan bagi menyelaraskan pelaksanaan agenda keselamatan tenaga negara - Akmal Nasrullah | Peranan GLC dan GLIC bukan sekadar pertahan pulangan pelaburan, malah bantu perkukuh daya tahan ekonomi - Akmal Nasrulllah | Kerajaan tumpu pada sektor elektrik, industri pembinaan, pasaran buruh dan penilaian ekonomi jangka sederhana dalam mesyuarat MTEN minggu ini - Akmal Nasrullah | Pasaran ekuiti tempatan berdaya tahan dengan meningkat 1.5 peratus pada Jumaat lepas, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara - Akmal Nasrullah | 

Ethiopia Jadi Pintu Masuk Produk Malaysia Ke Afrika - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Malaysia melihat Ethiopia sebagai pintu masuk strategik bagi produk negara memasuki pasaran Afrika, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam catatan di laman X, beliau berkata penilaian itu dibuat susulan pertemuan antara delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali, yang menyaksikan kedua-dua negara bersetuju memperkukuh hubungan perdagangan dua hala.

“Kita melihat Ethiopia sebagai pintu masuk strategik untuk produk Malaysia ke benua Afrika, manakala Malaysia pula sebagai pintu masuk untuk produk Ethiopia ke pasaran ASEAN,” katanya. 

Tengku Zafrul berkata sektor utama kerjasama merangkumi industri halal, yang menawarkan potensi besar bagi eksport makanan dan minuman halal Malaysia, selain produk seperti kelapa sawit.

“Kami juga sedang meneroka peluang untuk mengimport kopi berkualiti tinggi, biji minyak, dan hasil hortikultur dari Ethiopia.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industru komited untuk terus menyokong pengukuhan hubungan perdagangan dua hala ini,” kata beliau. 

-- BERNAMA