BERITA TERKINI   Kerajaan peruntuk RM3.5 juta perluas Program KasihnITa 2026, sasar 5,000 ibu tunggal di seluruh negara - Nancy | Malaysia kekal di landasan capai sasaran negara AI menjelang 2030 meskipun ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat - Gobind | KKR bina 91 bilik darjah di 70 sekolah guna kaedah modular, IBS libat kos RM80 juta daripada KPM - Ahmad Maslan | Diskaun bil elektrik 25 peratus di Sarawak bermula bulan ini hingga Dis 2026, manfaat 714,557 pengguna domestik - Premier | Sewa di premis kerajaan dikurangkan 50 peratus bagi peniaga kecil, sederhana di Sarawak - Premier | 

Wilfred Madius Dilantik Pengerusi POIC Sabah, Roger Chin Terajui Invest Sabah

KOTA KINABALU, 29 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Sabah manakala bekas pengarah Kastam Sabah Datuk Jonathan Kandok sebagai Timbalan Pengerusinya.

 ADUN Dilantik Datuk Roger Chin pula diberi tanggungjawab menerajui Invest Sabah Berhad sebagai pengerusinya, demikian umum Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah dalam satu kenyataan hari ini.

Ewon berkata berkata pelantikan tersebut memainkan peranan dalam memacu syarikat berkaitan kerajaan negeri itu terutama dalam usaha membawa masuk pelaburan berkualiti dan meningkatkan daya saing negeri Sabah.

"Pelantikan ketiga-tiga tokoh berpengalaman itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan industri pelaburan, perindustrian dan logistik Sabah terus dipacu secara teratur, inklusif dan berimpak tinggi.

"Pelantikan ini selaras dengan pendekatan ‘Sabah First’, yang mana kepentingan dan manfaat kepada rakyat serta ekonomi Sabah sentiasa menjadi keutamaan," katanya dalam kenyataan itu selepas menyampaikan watikah perlantikan kepada ketiga-tiga individu berkenaan, di sini, hari ini.

Ewon berkata beliau komited untuk terus melaksanakan agenda 'Sabah First' di kementeriannya dengan memberi tumpuan utama kepada pembangunan ekosistem pelaburan dan keusahawanan yang mesra pelabur dan usahawan.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Thomas Logijin, Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah Datuk Gredian Gan dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Dr Firdausi Suffian.

POIC Sabah yang ditubuhkan pada 2005 mengendalikan hab perindustrian serta logistik strategik di Lahad Datu dan terlibat dalam pemprosesan hiliran minyak sawit, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan menarik pelaburan dalam industri berkaitan seperti pelabuhan, biojisim dan biopenapisan. 

Invest Sabah pula yang ditubuhkan pada 2020, membawa misi menarik pelaburan strategik ke Sabah bagi memacu perubahan struktur menerusi ekosistem domestik dinamik, memupuk ekonomi inklusif, serta  memajukan kelestarian, menggalakkan inovasi digital berteraskan dasar ekonomi dan pelaburan.

Wilfred Madius merupakan Ahli Parlimen Tuaran dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli. 

-- BERNAMA