PERDA Sasar Bina 5,000 Unit Rumah Dalam Tempoh Lima Tahun, GDV Lebih RM1 Bilion
TASEK GELUGOR, 30 Dis (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) merancang untuk membina 5,000 unit rumah di Seberang Perai Utara dalam tempoh lima tahun akan datang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM1 bilion.
Pengerusinya Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata projek perumahan berskala besar itu merangkumi pelbagai jenis kediaman, termasuk rumah mampu milik dan skim sewa beli bagi membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk memiliki rumah sendiri.
Pembangunan itu melibatkan tanah milik PERDA seluas 202.34 hektar di beberapa lokasi srategik di sekitar Seberang Perai Utara.
"Daripada keseluruhan 5,000 unit itu, kira-kira 500 unit atau 10 peratus dilaksanakan di bawah konsep sewa beli agar yang kurang mampu dapat membeli rumah dengan cara menyewa sebelum memilikinya sepenuhnya selepas tempoh sekitar 20 tahun.
“Kita faham ramai rakyat, khususnya orang kampung berdepan kesukaran mendapat pinjaman perumahan...jadi skim sewa beli ini diwujudkan bagi memudahkan mereka membayar secara bulanan dan akhirnya memiliki rumah sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Program Kembali Ke Sekolah anjuran PERDA dengan kerjasama anak syarikat agensi itu, PERDA Ventures Incorporated Sdn Bhd (PVISB) yang menyaksikan 200 murid menerima bantuan baucer tunai RM150 bagi pembelian pakaian seragam serta peralatan sekolah.
Menjelaskan selanjutnya, Shaik Hussein berkata harga rumah mampu milik dijual PERDA adalah di bawah RM300,000, namun terdapat harga unit berharga lebih tinggi i harga itu bergantung kepada pasaran semasa dan masih rendah berbanding yang ditawarkan syarikat perumahan lain.
"PERDA tidak mengambil keuntungan besar, malah ada projek yang kita tidak ambil untung langsung kerana PERDA ialah agensi ditubuhkan untuk rakyat (dan) bukan mencari untung.
"Apabila kerajaan negeri dan Persekutuan di bawah pentadbiran yang sama, banyak proses kelulusan projek Perda menjadi lebih mudah. Projek-projek tertangguh sebelum ini juga berjaya diselesaikan,” katanya.
Bagi projek 500 unit rumah sewa beli, beliau berkata butirannya dijangka diumumkan dalam masa terdekat dan dilancarkan sebelum pertengahan 2026.
Shaik Hussein berkata PERDA juga optimis sasaran pembinaan 5,000 rumah di Seberang Perai Utara itu dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun, sekali gus membantu menangani isu pemilikan rumah dan memenuhi keperluan perumahan rakyat secara mampan.
-- BERNAMA