BERITA TERKINI   Bursa Malaysia tegur Pengarah Eksekutif merangkap CEO TFP Solutions, Datin Eugena Braganza kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities | Polis ambil keterangan tiga individu bantu siasatan dakwaan jatuhkan kerajaan, lakukan sabotaj terhadap kestabilan negara - KPN | Konflik Asia Barat : Polis tingkatkan rondaan, penugasan di sempadan atau sasaran penting dalam negara - KPN | Enam individu termasuk tiga kanak-kanak ditahan terlibat memberi sokongan, rekrut ahli baharu dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas - KPN | TKSU Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Amran Ahmad dilantik KP Kastam berkuat kuasa 9 Mac - KSN | 

SC Dakwa Bekas CEO Khee San Bhd Sebabkan Kerugian Salah Berjumlah RM7.12 Juta

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendakwa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi bukan bebas bukan eksekutif Khee San Bhd (KSB) Datuk Seri Liew Yew Chung atas kerugian salah berjumlah RM7.12 juta ke atas anak syarikat KSB, Khee San Food Industries Sdn Bhd (KSFI).

Dalam satu kenyataan, SC berkata Liew berdepan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 317A(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana membatalkan 25 perjanjian pinjaman yang diberikan oleh KSFI kepada 11 individu, dengan niat menyebabkan kerugian salah kepada KSFI.

Kesalahan berkenaan berlaku pada 2019 di Seri Kembangan, Selangor, menurut kenyataan itu.

“Jika disabit kesalahan, Liew berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi 10 tahun, serta denda maksimum RM10 juta,” katanya.

Liew mengaku tidak bersalah ke atas semua 11 pertuduhan di dua mahkamah berasingan dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM160,000.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus membenarkan Liew diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan dua penjamin tempatan, dan diarahkan melapor kepada pegawai penyiasat SC di pejabat SC dua bulan sekali sebagai syarat tambahan ikat jamin.

Liew turut dibenarkan diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin tempatan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norma Ismail, dan juga dikenakan syarat melapor dua bulan sekali.

“SC tidak memohon supaya pasport Liew diserahkan kerana ia telah diserahkan kepada mahkamah dalam satu kes berasingan pada Mei 2025,” kata kenyataan itu.

-- BERNAMA