BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

Langkah Korporat Diteruskan Walaupun Bursa Malaysia Tolak Permohonan Lanjutan Masa - Capital A

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Capital A Bhd menjelaskan bahawa keputusan Bursa Malaysia Securities Bhd untuk tidak meluluskan permohonannya bagi lanjutan masa untuk menyelesaikan pengagihan saham tidak mempunyai kesan material terhadap pelaksanaan korporat kumpulan yang sedang berjalan.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenytaan hari ini berkata tiada perubahan pada strategi kumpulan, dan satu-satunya kesan adalah semakan semula pada garis masa penyelesaian tersebut.

Saham tersebut akan diperuntukkan dan dikeluarkan oleh AirAsia X Bhd (AAX) serentak dengan saham penempatan dikeluarkan dalam penempatan persendirian AAX.

“Pengagihan kekal tertakluk kepada penyelesaian penempatan persendirian oleh AAX kerana saham AAX baharu mesti dikeluarkan sebelum ia boleh diagihkan kepada pemegang saham Capital A yang berhak.

“Susulan kelulusan diberikan oleh Bursa Securities kepada AAX untuk lanjutan bagi menyelesaikan penempatan persendiriannya menjelang 19 Januari, 2026, garis masa Capital A akan diselaraskan dengan sewajarnya. Selepas diterbitkan, saham AAX baharu akan diperuntukkan kepada pemegang saham Capital A seperti dirancang,” katanya.

Pemfailan itu berkata Capital A telah mengumumkan tarikh kelayakan, iaitu 3 Disember, 2025, berdasarkan andaian bahawa terdapat masa yang mencukupi untuk pelabur dikenal pasti menyediakan dokumentas diperlukan.

“Pada masa pengumuman tarikh kelayakan, tiada petunjuk menunjukkan bahawa pelabur dikenal pasti akan gagal memenuhi tarikh akhir ditetapkan oleh AAX.

“Adalah munasabah untuk menjangkakan bahawa penempatan persendirian AAX akan diselesaikan dalam tempoh masa diluluskan, iaitu menjelang 31 Disember, 2025, selaras dengan tarikh sasaran penyelesaian AAX,” katanya.

Syarikat itu juga berkata pengumuman tarikh kelayakan adalah langkah yang perlu untuk membolehkan Capital A mengemukakan permohonan tambahan kepada mahkamah tinggi untuk perintah sampingan di bawah Seksyen 116 Akta Syarikat 2016.

“Permohonan ini berkaitan dengan pengurangan modal saham terbitan syarikat selaras dengan pengagihan berjumlah kira-kira RM2.7 bilion, berdasarkan harga pasaran penutup saham AAX sebanyak RM1.62 pada tarikh kelayakan (perintah mahkamah tambahan),” katanya.

Kuantum pengurangan modal hanya boleh ditentukan dengan merujuk kepada harga pasaran penutupan saham AAX pada tarikh kelayakan.

“Oleh itu, permohonan untuk perintah mahkamah tambahan tidak boleh dibuat sehingga tarikh kelayakan diumumkan.

“Justeru, tarikh kelayakan telah dirancang dengan teliti untuk menyediakan penampan mencukupi untuk Capital A mendapatkan perintah mahkamah tambahan,” kata Capital A.

-- BERNAMA