Pengeluaran Getah Asli Malaysia Turun 29.6 Peratus Pada November 2025 -- DOSM
KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 29.6 peratus pada November 2025 kepada 20,891 tan berbanding pada Oktober 2025 iaitu 29,673 tan, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Beliau berkata perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 48.2 peratus berbanding November 2024 iaitu 40,341 tan.
"Pengeluaran getah asli Malaysia pada November 2025 disumbangkan terutamanya oleh pekebun kecil iaitu 83.3 peratus berbanding estet iaitu 16.7 peratus," katanya dalam terbitan Perangkaan Getah Bulanan, Malaysia, November 2025 hari ini.
Mohd Uzir berkata jumlah stok getah asli pada November 2025 menurun 17.3 peratus kepada 120,208 tan metrik daripada 145,422 tan pada Oktober 2025.
"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 76.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (23.1 peratus) dan estet getah (0.1 peratus)," katanya.
Eksport getah asli Malaysia berjumlah 37,150 tan pada November 2025, menurun 29.8 peratus daripada Oktober 2025 (52,932 tan).
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu menyumbang
50.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada November 2025 diikuti Jerman (15.1 peratus), Emiriah Arab Bersatu (12.5 peratus), Amerika Syarikat (5.7 peratus) dan Turkiye (2.2 peratus).
"Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.9 billion pada November 2025, menurun 25.8 peratus daripada Oktober 2025 (RM1.2 billion)," katanya.
Menurut Mohd Uzir, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 0.4 peratus (November 2025: 571.93 sen sekilogram; Oktober 2025: 569.84 sen sekilogram).
"Sekerap menurun 1.8 peratus (November 2025: 589.83 sen sekilogram; Oktober 2025: 600.44 sen sekilogram)," katanya.
-- BERNAMA