BERITA TERKINI   Perbincangan bersama Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian semalam sentuh aspek cabaran AI, proses pengawalseliaan sandbox - Fahmi | MINDEF diberi keutamaan guna pakai kerangka ESG berikutan skala perolehan yang besar dan keperluan tadbir urus lebih mampan – Fahmi | Kementerian Perpaduan Negara anjur acara khusus peringati jasa, bakti Allahyarham Tun Abdul Razak sepanjang Bulan Kebangsaan tahun ini - Fahmi | Proses rundingan pembayaran 40 peratus hasil Sabah telah dimulakan, komitmen dimuktamadkan dalam tempoh 180 hari - Fahmi | Ketua Pesuruhjaya SPRM akan bertemu dengan Menteri Pertahanan berhubung isu perolehan ATM pada Rabu depan | 

MAG Akan Kendali Lebih 2,400 Penerbangan Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) akan mengendalikan lebih 2,400 penerbangan sepanjang tempoh perjalanan sempena Tahun Baharu Cina ini, termasuk sehingga 198 penerbangan tambahan yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines dan Firefly.

Dalam kenyataan hari ini, MAG menjelaskan penerbangan itu akan beroperasi antara 11 Feb hingga 23 Feb, 2026, untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung halaman dengan selamat dan lancar ketika kemuncak musim perayaan.

“Dalam tempoh ini, Malaysia Airlines akan mengendalikan sehingga 1,498 penerbangan, dengan tambahan 130 penerbangan untuk menyokong peningkatan permintaan perjalanan sempena perayaan.

“Sementara itu, syarikat penerbangan sekutu, Firefly, akan mengendalikan sehingga 962 penerbangan antara 13 Feb hingga 23 Feb, 2026, dengan sehingga 68 penerbangan tambahan, sekali gus mengukuhkan lagi kesambungan semasa kemuncak perjalanan perayaan,” tambahnya.

MAG memaklumkan penambahan operasi itu akan menyokong laluan domestik utama untuk pulang ke kampung halaman antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, termasuk Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

Sepanjang tempoh puncak perayaan Tahun Baharu Cina dari 13 Feb hingga 16 Feb, 2026, Malaysia Airlines dan Firefly juga akan menawarkan tambang bersubsidi sehala termasuk semua dari Kuala Lumpur ke destinasi terpilih di Malaysia Timur.

Malaysia Airlines akan menawarkan tambang bersubsidi sehingga RM569 bagi penerbangan sehala termasuk semua dari Kuala Lumpur ke destinasi termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Labuan, Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu.

Sementara itu, Firefly pula akan menawarkan tambang bersubsidi sehingga RM548 termasuk semua bagi penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke destinasi terpilih di Malaysia Timur, termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Kuching dan Sibu.

-- BERNAMA