BERITA TERKINI   KSN, PETRA diminta teliti pendekatan menyeluruh atasi banjir, bekalan air di Sarawak - PM Anwar | Sultan Selangor titah rakyat bersabar tunggu pengumuman tarikh Aidilfitri, jangan percaya spekulasi - Istana Alam Shah | Konflik Asia Barat: PM Anwar minta KSN dan KPPA teliti cadangan penjawat awam bekerja daripada rumah - Fahmi  | Subsidi kerajaan naik kepada RM3.2 bilion daripada RM700 juta sebulan untuk petrol dan diesel - Amir Hamzah | Kerajaan berusaha memastikan bekalan bahan api berterusan selepas Mei - Amir Hamzah | 

Inflasi Rendah Dijangka Dorong OPR Kekal Pada 2.75 Peratus Pada 2026 - HLIB

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026, disokong oleh kadar inflasi yang rendah pada 2025 dan pertumbuhan ekonomi yang stabil. 

Berdasarkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata inflasi tahun penuh bagi 2025 adalah pada 1.4 peratus, menurun daripada 1.8 peratus pada 2024, menunjukkan trend disinflasi pascapandemik kekal utuh.

Melangkah ke tahun 2026, HLIB menjangka IHP, pengukur utama inflasi di Malaysia, akan naik sedikit kepada 1.7 peratus, didorong oleh kesan asas yang rendah, pelarasan dasar pada peringkat domestik dan inflasi berkaitan komunikasi.

“Bagaimanapun, aliran peningkatan tersebut dijangka bersifat sederhana berikutan harga RON95 yang lebih rendah, persekitaran komoditi global yang baik dan ringgit yang mengukuh,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut DOSM, inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025 daripada 1.4 peratus pada November 2025, melebihi anggaran konsensus median sebanyak 1.4 peratus.

“Peningkatan itu didorong oleh inflasi yang lebih tinggi untuk minuman beralkohol dan tembakau, perumahan, utiliti dan bahan api lain, maklumat dan komunikasi serta penjagaan diri,” katanya.

Sementara itu, katanya inflasi teras meningkat kepada 2.3 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025 daripada 2.2 peratus pada bulan sebelumnya.

-- BERNAMA