BERITA TERKINI   JKDM perlu terus perbaiki keupayaan dan integriti pastikan kedudukan negara kekal kukuh, capai kutipan hasil lebih memberangsangkan -- PM Anwar | 88,000 unit produk kesihatan disyaki mengandungi racun berjadual bernilai RM24 juta dirampas di Pulau Pinang - Pengarah Kesihatan Negeri | Ringgit cecah paras tertinggi baharu pada 3.9668 berbanding dolar AS selepas sesi rehat tengah hari | Ringgit cecah paras tertinggi baharu pada 3.96 berbanding dolar AS selepas sesi rehat tengah hari | Polis ambil keterangan beberapa pegawai tentera susulan penyebaran maklumat berkaitan perjawatan strategik ATM - Mohamed Khaled | 

Pelaburan Ecoceres Bakal Jadikan Johor Dalam Rantaian Bekalan Global Bahan Api -- Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 25 Jan (Bernama) -- Syarikat global dalam pengeluaran bahan api mampan dan rendah karbon, EcoCeres Renewable Fuels yang membuat pelaburan di Tanjung Langsat, Pasir Gudang bakal meletakkan Johor dalam rantaian bekalan global bahan api masa hadapan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata syarikat itu ketika ini sudah pun memasuki fasa operasi dan memulakan penghantaran bahan api mampan ke pasaran antarabangsa.

"Kehadiran EcoCeres di Johor membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap keupayaan negeri ini sebagai hab industri hijau dan peralihan tenaga di Asia Tenggara," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, Onn Hafiz berkata Johor akan terus meletakkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan serta hab teknologi dan industri bernilai tinggi di peringkat serantau. 

Dalam pada itu, beliau berkata kehadiran syarikat yang turut terlibat dalam pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) itu memberi manfaat kepada lebih 300 peluang pekerjaan bergaji premium dan berkualiti tinggi dengan 185 daripadanya diisi oleh anak-anak Johor.

"Julat gaji premium sekitar RM3,000 hingga RM15,000 selari dengan tahap kepakaran, kemahiran teknikal serta teknologi operasi berintensif tinggi yang digunakan," katanya.

Beliau berkata selain peluang pekerjaan, EcoCeres turut menyalurkan sumbangan dan kerjasama strategik bagi pembangunan pendidikan Johor iaitu kepada Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Pelajaran Johor (YPJ). 

Inisiatif itu katanya bertujuan menyokong pembangunan kemahiran serta latihan berterusan bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang lebih berdaya saing dan berkemahiran tinggi.

--BERNAMA