BERITA TERKINI   Kerajaan setuju bayar RM200 sehektar sebagai pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan, manfaatkan hampir 240,000 pesawah - PM Anwar | MARA Corp sasar kurangkan kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, capai prestasi keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027 - Ketua Pengarah | MARA sasar jana nilai melalui pelaburan bersasar, berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030, meliputi inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi - Ketua Pengarah | Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA dikurangkan, bantu peniaga kecil - PM Anwar | Cuaca panas: TUDM, Bomba diarah tingkat aktiviti pembenihan awan di utara Semenanjung bagi atasi kesukaran dihadapi petani - PM Anwar | 

Pertumbuhan Kukuh Ekonomi, Inflasi Sederhana Pengaruhi Keputusan OPR - Gabenor BNM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) – Bank Negara Malaysia (BNM) melihat prospek pertumbuhan ekonomi negara yang berdaya tahan pada 2026 dan menjangkakan inflasi terus kekal sederhana.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 2.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) minggu lepas mencerminkan penilaian bank pusat terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi negara.

"Tahun lepas kita mencatatkan pertumbuhan yang baik. Ekonomi menunjukkan daya tahan, dan (kami menjangkakan) perkara ini akan berterusan bagi tahun 2026. 

"Persekitaran harga yang agak stabil disokong oleh keadaan kos global yang berkurangan, dengan harga komoditi global dijangka kekal sederhana. Ini telah membantu membendung tekanan kos," katanya kepada Bernama menerusi satu temu bual eksklusif, hari ini.

Abdul Rasheed berkata meskipun ketidakpastian global masih berterusan, MPC mengikuti rapat perkembangan luaran dan menilai bagaimana ia memberi kesan terhadap prospek ekonomi Malaysia.

Beliau menegaskan dari segi dasar monetari, BNM tidak memutuskan kadar terlebih dahulu sebaliknya membuat keputusan berdasarkan mesyuarat demi mesyuarat.

"Penilaian terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi mungkin berubah, bergantung pada perkembangan global dan domestik. Dalam persekitaran ini, paras OPR semasa sebanyak 2.75 peratus adalah sesuai dan menyokong ekonomi," katanya.

Beliau menjelaskan semua data yang berkaitan dikemas kini dan disemak oleh MPC pada setiap mesyuaratnya yang diadakan enam kali setahun.

Mengenai peranan dan impak keputusan dasar monetari terhadap aktiviti ekonomi, Abdul Rasheed berkata apabila ekonomi mengalami kelembapan, pengurangan OPR akan dapat membantu memacu ekonomi.

"Apabila kadar faedah turun, pembayaran balik pinjaman menjadi lebih murah, menjadikan isi rumah mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan. Sama juga dengan perniagaan. Mereka boleh meminjam dengan lebih murah, dan kemudian (mereka) boleh melabur," katanya.

Sebaliknya, Abdul Rasheed berkata apabila risiko inflasi meningkat, bank pusat akan mengambil tindakan untuk mengawal tekanan harga.

"Walaupun kadar yang lebih tinggi mungkin menjadikan pinjaman lebih mahal, ia perlu untuk mengelakkan inflasi yang tidak terkawal," katanya.

Beliau berkata MPC berusaha untuk mengawal tekanan inflasi kerana ia penting untuk memastikan kuasa beli dilindungi dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA