BERITA TERKINI   MB Johor nafi desas-desus pembubaran DUN berlaku hari ini | Wartawan perlu dibenarkan bekerja secara profesional dengan pendekatan lebih berhemah oleh pihak berkuasa - Teo Nie Ching | Pihak berkuasa harus mengutamakan dialog berbanding penahanan dan menyelesaikan pertikaian melalui Majlis Media Malaysia untuk menambah baik perundangan kewartawanan -Teo Nie Ching | Forum Media HAWANA penting, memberi ruang untuk mencorakkan masa depan kewartawanan - Teo Nie Ching | Tabung Kasih@HAWANA beri manfaat kepada 728 pengamal media, jumlah sumbangan sebanyak RM1.94 juta setakat 30 April 2026 - Teo Nie Ching | 

Sunway Group Mahu Kembangkan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Di Seluruh ASEAN

SUBANG JAYA, 27 Feb (Bernama) -- Sunway Group Bhd (Sunway), melalui cabang penjagaan kesihatannya, Sunway Healthcare Holdings Bhd (SHH), terbuka untuk meneroka peluang menubuhkan hospital dan pusat penjagaan kesihatan di seluruh rantau ASEAN.

Pengasas dan Pengerusi Sunway Tan Sri Jeffery Cheah berkata kumpulan itu tidak menetapkan garis masa atau mengenal pasti negara tertentu bagi pelaburan berpotensi, memandangkan Sunway sedang menilai sama ada persekitaran budaya dan etika kerja menetapi kepentingannya.

“Kami telah membina kedudukan yang kukuh di Malaysia dan kini mencari peluang untuk berkembang ke luar negara.

“Bagaimanapun, apabila melabur di negara asing, aspek budaya, etika kerja dan dasar adalah berbeza. Jadi, kami perlu berkembang secara berhati-hati,” katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus tawaran awam awal (IPO) SHH, di sini hari ini.

SHH menyasar untuk mengumpul RM833.8 juta menerusi IPO itu yang ditawarkan pada RM1.45 sesaham sebelum penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijangka pada 18 Mac, 2026.

Cheah berkata Sunway merancang untuk memperluas perkhidmatan hidup berbantu seperti Sunway Sanctuary ke semua hospitalnya di seluruh negara.

Sunway Sanctuary ialah kediaman dan komuniti warga emas bersepadu sepenuhnya yang menawarkan pilihan kehidupan berdikari dan hidup berbantu untuk warga emas yang mementingkan kualiti.

“Sunway Sanctuary menjadi model yang sangat baik untuk kami. Saya secara konsisten telah menyatakan yang kami merancang untuk menggabungkan kemudahan hidup berbantu di semua hospital lain kami.

“Berlandaskan jenama Sunway dan perkhidmatan berkualiti, kami yakin semua hospital ini akan mencatatkan prestasi cemerlang,” katanya.

Cheah berkata pihaknya tiada perancangan untuk menyenaraikan cabang pendidikan, Sunway Education Group, kerana tujuan utamanya adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat dan bukan menjana keuntungan.

“Saya telah membuat keputusan mengenai bidang pendidikan iaitu saya mahu memberi kembali kepada masyarakat dengan cara yang bermakna.

“Sunway Education Group wujud untuk berkhidmat kepada komuniti, dan saya telah menetapkan harapan yang tinggi kepada kalangan profesor serta kakitangan yang berkhidmat dalam kumpulan pendidikan ini,” katanya.

-- BERNAMA