BERITA TERKINI   Setakat 28 Feb 2026, hampir 14.8 juta daripada 16.5 juta individu layak nikmati RON95 pada kadar RM1.99 seliter, dengan nilai jualan RM12.8 bilion atau penggunaan 6.46 bilion liter - Amir Hamzah | Setakat 28 Februari, jumlah Rakan Niaga SARA meningkat kepada 11,300 kedai di seluruh negara berbanding hanya 700 kedai pada 2024 - Amir Hamzah | Setakat 1 Mac 2026, nilai ringgit terus meningkat kepada RM3.89 berbanding dolar AS, cerminkan asas domestik kukuh - Amir Hamzah | Pindaan had tempoh jawatan PM pastikan kepimpinan negara sentiasa diperbaharui dengan tertib dan kestabilan - PM Anwar | Cadangan pindaan Perlembagaan terhadap had tempoh jawatan PM tidak jejaskan kuasa prerogatif Agong - PM Anwar | 

MyRMK Disasar Bermula Suku Ketiga Tahun Ini - Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Kementerian Ekonomi menyasarkan sistem MyRMK dilaksanakan bermula suku ketiga tahun ini yang membolehkan pemantauan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dibuat secara menyeluruh, kata Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata ini termasuk akses pelaporan kepada rakyat melalui papan pemuka dalam talian. 

Katanya melalui MyRMK, pemantauan bukan sahaja tertumpu pada pelaksanaan projek semata-mata, malah merangkumi keseluruhan strategi dan objektif yang digariskan dalam RMK13.

“Dari sudut pelaksanaan projek, pemantauan dibuat melalui sistem MyProject di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri. 

“MyRMK pula akan dijajarkan dengan objektif strategik dalam RMK13. Sekiranya berlaku kelewatan projek, ia akan memberi kesan langsung kepada pencapaian sasaran yang ditetapkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud-PH) mengenai kaedah pemantauan projek dan langkah rakyat, bukan sahaja kerajaan dapat melihat kemajuan sebenar projek melalui MyRMK. 

Katanya kementerian berhasrat pelaporan kemajuan dapat diterbitkan secara berkala menerusi papan pemuka di laman sesawang RMK13.

Beliau berkata ini membolehkan rakyat melihat perkembangan sebenar pencapaian strategi yang ditetapkan sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaannya.

Katanya MyRMK bukan sekadar sistem pelaporan projek, malah berfungsi pada skala makro bagi menjejak keseluruhan pelaksanaan dasar dan inisiatif di bawah RMK13 termasuk melibatkan penggubalan dan pelaksanaan akta.

-- BERNAMA