Malaysia Airlines Terbang Semula Ke Jeddah, Madinah Pada 4-8 Mac, Doha Masih Digantung
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Malaysia Airlines akan menyambung semula penerbangan masuk dan keluar dari Jeddah (JED) serta Madinah (MED) buat sementara waktu pada 4-8 Mac 2026, berikutan penggantungan perkhidmatan yang dimulakan sejak 28 Feb 2026 selepas penutupan ruang udara di beberapa kawasan di Timur Tengah.
Bagaimanapun, perkhidmatan ke Doha (DOH) akan kekal digantung sehingga 7 Mac 2026 memandangkan syarikat penerbangan itu sedang menilai keadaan keselamatan, kata Malaysia Aviation Group (MAG) melalui satu kenyataan hari ini.
Semua penerbangan lain, termasuk perkhidmatan ke London (LHR) dan Lapangan Terbang Paris Charles de Gaulle (CDG) kekal mengikut jadual, beroperasi pada laluan alternatif jauh dari zon konflik yang terjejas.
“Penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan dan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif jika perlu.
“Penumpang dinasihatkan untuk mengemas kini butiran hubungan mereka melalui 'My Booking' bagi perkembangan terbaharu," kata MAG.
Bantuan juga boleh didapati melalui Sembang Langsung di laman web atau hubungi Pusat Hubungan Global Malaysia Airlines pada 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (di luar Malaysia).
"Keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal adalah keutamaan kami," kata kumpulan itu.
MAG berkata dengan penyambungan semula penerbangan, Malaysia Airlines terus mengambil langkah proaktif untuk melindungi operasi termasuk menggunakan laluan penerbangan alternatif bagi mengelak kawasan terjejas; mengekalkan koordinasi rapat dengan pihak berkuasa penerbangan dan rakan kongsi lapangan terbang; mengukuhkan keselamatan dalam penerbangan serta prosedur operasi; memastikan penumpang dimaklumkan dengan kemas kini selain memberikan sokongan tepat pada masanya.
"Malaysia Airlines akan terus memantau perkembangan dengan teliti termasuk mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai.
-- BERNAMA