BERITA TERKINI   ACLE: Sanfrecce Hiroshima 1-0 JDT. JDT mara ke suku akhir secara agregat 3-2 | 

Prestasi Pelaburan Diluluskan Negeri Sembilan Catat Sejarah RM19.1 Bilion Pada 2025

SEREMBAN, 11 Mac (Bernama) -- Negeri Sembilan mencatatkan prestasi pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negeri ini apabila merekodkan jumlah sebanyak RM19.1 bilion pada tahun lepas sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak RM10 bilion.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata jumlah itu membabitkan 295 projek pelaburan diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) negeri.

Beliau berkata pencapaian tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM7.2 bilion direkodkan pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 164 peratus.

“Pencapaian ini juga telah memecahkan rekod pelaburan terbaik negeri ini pada 2023 yang mencatatkan RM10.1 bilion.

"Negeri Sembilan kini berada di kedudukan keenam tertinggi dari segi jumlah pelaburan yang diluluskan, selepas Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah," katanya pada sidang media khas pengumuman prestasi pelaburan Negeri Sembilan Tahun 2025 di Wisma Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Invest Negeri Sembilan Datuk Najmuddin Sharif Sarimon.

Aminuddin berkata sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak RM13.79 bilion bersamaan 72 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan negeri, manakala sektor pembuatan RM5.34 bilion (28 peratus). 

Manakala bagi sub sektor perkhidmatan terdapat lima sektor utama penyumbang terbesar iaitu sektor informasi dan komunikasi; sektor hartanah; sektor utiliti; sektor sokongan perkhidmatan dan lain-lain industri. 

Bagi sub sektor pembuatan terbesar pula adalah industri kimia dan produk kimia; industri elektrik dan elektronik; industri produk petroleum; industri fabrikasi logam serta industri pembuatan makanan selari dengan kedudukan strategik negeri ini sebagai hab logistik dan rantaian bekalan dalam Wilayah Tengah.

Beliau berkata pelaburan domestik menjadi penyumbang terbesar dengan nilai sebanyak RM14.7 bilion (77 peratus), manakala pelaburan asing mencatatkan RM4.43 bilion (23 peratus). 

“Dari segi punca pelaburan asing merekodkan China sebanyak RM2.2 bilion; Netherlands (RM0.8 bilion); Taiwan (RM0.54 bilion); Jepun (RM0.28 bilion) dan Singapura (RM 0.19 bilion).

Aminuddin berkata antara projek utama diluluskan pada tahun ini termasuk dari syarikat Hunan Yuneng New Energy Battery Material; ON Semiconductor (M) Sdn Bhd; IN WIN Asia Sdn Bhd; T.Hasegawa Flavours; serta pusat data baharu iaitu Nexus Yang Sdn Bhd.

"Manfaat daripada peningkatan syarikat yang melabur di negeri ini dijangka akan mewujudkan sebanyak 3,845 peluang pekerjaan baharu, sekali gus membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat," katanya.

Aminuddin berkata tahun ini dijangka lebih mencabar kerana ketidaktentuan ekonomi dunia dan pergolakan geopolitik di Timur Tengah dan kerajaan negeri akan terus memperkukuh usaha untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi berimpak besar dengan menggunakan teknologi maju.

"Dengan komitmen berterusan semua pihak, saya yakin Negeri Sembilan akan terus melangkah maju sebagai sebuah negeri yang progresif, berdaya saing dan makmur, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri," katanya.

-- BERNAMA