BERITA TERKINI   Dua sindiket pengedaran dadah tumpas, dadah RM4.7 juta dirampas dalam operasi di Johor Bahru - Polis | Seramai 60,000 pelajar disasar terima manfaat MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) dengan peruntukan RM18.5 juta - Anthony Loke | Tiga individu ditahan bantu siasatan kes lelaki maut ditembak di Skudai pada 9 Mei lepas - Polis | PRN Johor tidak dibincangkan dalam Mesyuarat MT UMNO dan pertemuan dengan Agong hari ini - Ahmad Zahid | Empat pelajar sekolah di Machang cedera parah dalam kemalangan jalan raya pagi tadi - Polis | 

F&NHB Umum Peralihan Kepimpinan, Lantik Gupta Sebagai Bakal CEO

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Fraser & Neave Holdings (F&N) melantik Tarang Gupta sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 1 Julai 2026.

Beliau menggantikan Lim Yew Hoe yang akan bersara sebagai CEO pada 30 Sept 2026.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini mengenai rancangan peralihan kepimpinan, syarikat makanan dan minuman itu memaklumkan Gupta akan mengambil alih tanggungjawab sebagai CEO pada 1 Okt 2026.

Beliau mempunyai pengalaman lebih 24 tahun dalam sektor barangan pengguna cepat laris, dengan memiliki rekod kejayaan dalam pertumbuhan dan transformasi di Asia dan Afrika.

“Beliau pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan yang memantau organisasi yang kompleks dengan tanggungjawab yang menyeluruh terhadap prestasi komersial, kecemerlangan operasi dan pembangunan keupayaan.

“Pengalaman kepimpinan beliau merangkumi pelbagai kategori pengguna, termasuk produk tenusu dan nutrisi. Beliau bertanggungjawab untuk memacu pengembangan pasaran, memperkukuh disiplin pelaksanaan serta membina platform rantaian bekalan yang berdaya tahan,” menurut kenyataan itu.

Gupta sebelum ini adalah Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Bhd bagi Malaysia dan Singapura.

Menurut makluman itu, Lim akan terus menerajui kumpulan berkenaan sepanjang tempoh peralihan itu dan bekerjasama rapat dengan Gupta bagi memastikan proses penyerahan tugas berjalan lancar dan teratur.

Lim berkata beliau yakin F&N berada pada kedudukan baik bagi fasa pembangunan seterusnya dan berharap untuk bekerjasama dengan Gupta sepanjang tempoh peralihan itu bagi memastikan kesinambungan serta momentum yang berterusan.

Sementara itu, Gupta berkata beliau berharap untuk bekerjasama rapat dengan Lim dan pasukan kepimpinan bagi meningkatkan keupayaan kumpulan serta memperkukuh pertumbuhannya.

-- BERNAMA