BERITA TERKINI   Polis belum terima laporan dakwaan Victor Chin berkaitan Ahli Parlimen minta bayaran RM10 juta bagi bantu selesai isu manipulasi korporat - Bukit Aman | Capital A lantik Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 6 April | Capital A sedang teroka potensi dwipenyenaraian di Hong Kong pada suku ketiga 2026, dan teruskan rancangan untuk senaraikan AirAsia NEXT di Amerika Syarikat menjelang akhir tahun - Tony Fernandes | Capital A sasar keluar daripada status PN17 selepas catat untung empat suku tahunan berturut-turut - Tony Fernandes | Op Viking: Ahli perniagaan Victor Chin antara 10 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram - Polis | 

Sektor Pengguna Malaysia Kekal Berdaya Tahan Didorong Perbelanjaan Stabil, Sokongan Fiskal

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Sektor produk pengguna Malaysia dijangka terus menyediakan daya tahan dan keterlihatan pendapatan, disokong oleh penggunaan domestik yang stabil dan sokongan fiskal yang berterusan, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata langkah-langkah seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan subsidi bahan api bersasar (RON95) dijangka membantu menyokong perbelanjaan pengguna di tengah-tengah kenaikan mendadak harga tenaga global.

Ia berkata penyelarasan sementara kelayakan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) kepada 200 liter membayangkan impak serta-merta yang terhad terhadap pasaran massa.

“Secara keseluruhannya, kami tidak menjangkakan sebarang perubahan dasar dalam tempoh terdekat yang boleh mengganggu trend penggunaan secara material,” katanya.

Bagaimanapun, RHB IB berkata konflik yang berpanjangan di Asia Barat boleh menimbulkan risiko kesan peringkat kedua melalui tekanan inflasi.

Sementara itu, bank pelaburan berkenaan berkata prestasi sektor berkenaan bagi suku keempat 2025 adalah selaras dengan jangkaannya, apabila sembilan daripada 17 saham di bawah liputannya memenuhi jangkaan.

Ia berkata dalam tempoh itu pengembangan margin dapat diperhatikan secara meluas didorong oleh beberapa faktor termasuk peningkatan skala operasi dan jumlah jualan yang lebih tinggi dicatatkan oleh syarikat seperti Nestle (Malaysia) Bhd, 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd, MR DIY Group (M) Bhd, Eco-Shop Marketing Bhd dan Farm Fresh Bhd.

“Seperti biasa, terdapat peningkatan dalam perbelanjaan pengguna menjelang akhir tahun, khususnya dalam kalangan pemain sektor barangan budi bicara pengguna.

“Ini disebabkan oleh faktor bermusim yang mengalakkan (cuti sekolah, musim perayaan) dan juga boleh menunjukkan trend penggunaan yang stabil selari dengan peningkatan sentimen pengguna,” katanya.

Secara amnya, panduan oleh pihak pengurusan berada antara ‘neutral’ dan ‘positif’, dengan beberapa pemain sektor barangan budi bicara mencatat peningkatan jualan yang memberangsangkan sejak awal 2026.

Bank pelaburan itu berkata ini mungkin hasil daripada sentimen pengguna yang lebih kukuh – disokong oleh keadaan makroekonomi yang mantap, pertumbuhan pendapatan boleh guna yang sihat, pengukuhan ringgit dan kesan limpahan positif daripada Tahun Melawat Malaysia 2026.

-- BERNAMA