Malaysia Perkukuh Ekosistem Semikonduktor Di Tengah-tengah Ketidaktentuan Global
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Malaysia sedang memperkukuh ekosistem semikonduktornya di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik, memandangkan komponen itu kini disifatkan sebagai kepentingan negara.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata persekitaran global sedang berkembang pesat, dengan nilai semakin tertumpu kepada rantaian bekalan di peringkat awal berbanding aktiviti di peringkat akhir.
“Negara yang membina kekuatan dalam bidang-bidang ini bukan sahaja akan meraih nilai yang lebih besar, malah turut mencorak masa depan industri.
“Itulah sebabnya beralih ke peringkat rantaian nilai yang lebih tinggi bukan lagi satu pilihan; ia adalah teras kepada daya saing jangka panjang, daya tahan dan kerelevanan ekonomi Malaysia dalam sektor ini,” katanya ketika berucap di majlis prapelancaran SemiconStart Malaysia yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang diperkukuh melalui Belanjawan 2026, menunjukkan negara sedang mengambil langkah terancang untuk memperkukuh kedudukannya dalam segmen ekosistem yang bernilai lebih tinggi, termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan termaju dan keupayaan huluan lain demi daya saing jangka panjang.
“Ini mencerminkan komitmen nasional, bukan sahaja untuk mengambil bahagian dalam industri semikonduktor, malah untuk membina keupayaan yang memberi impak tinggi dalam bidang-bidang yang bakal mencorak masa hadapannya.
“Bagaimanapun, dasar sahaja tidak mencukupi. Apa yang penting adalah pelaksanaan, sama ada kita mampu menterjemahkan niat tersebut kepada syarikat sebenar, teknologi sebenar dan dengan keupayaan sebenar,” katanya.
Sehubungan itu, Mohammad Yusof berkata SemiconStart Malaysia merupakan satu usaha yang tersusun dan teratur untuk membina sesuatu yang telah lama diperlukan oleh Malaysia — iaitu rangkaian usaha niaga semikonduktor yang konsisten dan berwibawa.
“Ini bukan sekadar menyokong syarikat pemula niaga, tetapi tentang membina keupayaan Malaysia untuk membangunkan teknologi semikonduktor pada peringkat tertinggi.
“Ia adalah tentang membina syarikat yang mampu membangunkan teknologi, menghasilkan harta intelek, melahirkan bakat bernilai tinggi dan menyumbang secara bermakna kepada kekuatan industri jangka panjang Malaysia,” katanya.
Program itu dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dengan kerjasama Silicon Catalyst UK melalui inkubasi selama 260 hari, yang menyediakan syarikat peserta dengan akses kepada geran sehingga RM1 juta bagi setiap syarikat, peralatan reka bentuk termaju, bimbingan industri dan rangkaian pelabur global.
Bidang tumpuan termasuk reka bentuk IC, teknologi penderia, fotonik, Sistem Mikro Elektro Mekanikal (MEMS), teknologi kuantum dan bahan semikonduktor termaju, yang kesemuanya telah dikenal pasti sebagai segmen strategik bernilai tinggi di bawah NSS.
Malaysia pada masa ini menyumbang kira-kira 13 peratus daripada pasaran pengujian dan pembungkusan semikonduktor global serta kekal sebagai antara pengeksport semikonduktor terbesar di dunia.
Pelancaran penuh SemiconStart Malaysia dijangka berlangsung pada lewat tahun ini, dengan permohonan mula dibuka pada April.
Majlis prapelancaran itu turut dihadiri Pengerusi MTDC Tan Sri Abdul Rahman Mamat.
-- BERNAMA