Bursa Malaysia Ditutup Rendah, Diseret Turun Oleh Pengambilan Untung

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah selepas mencatatkan kenaikan awal pada Rabu, ekoran berlakunya pengambilan untung di kaunter saham wajaran tinggi terpilih terutama sektor perkhidmatan kewangan dan utiliti.

Pada 5 petang, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.70 mata atau 0.28 peratus kepada 1,683.42 daripada 1,688.12 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 3.30 mata lebih tinggi kepada 1,691.42 dan bergerak antara 1,680.46 hingga 1,695.68 sepanjang dagangan hari ini.

Bagaimanapun, bagi pasaran keseluruhan, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 615 berbanding 455, manakala 566 kaunter tidak berubah, 1,057 kaunter tidak didagangkan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.33 bilion unit bernilai RM3.02 bilion daripada 2.85 bilion unit bernilai RM2.67 bilion semalam.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI dibuka kukuh dan dalam masa singkat menguji paras 1,695 semasa awal dagangan.

Beliau berkata bagaimanapun momentum itu reda seiring dengan pergerakan dagangan.

Penurunan pasaran tertumpu khususnya dalam konstituen tenaga dan berkaitan utiliti berikutan harga minyak mentah yang rendah dan penyusunan semula pegangan jangka masa pendek selepas kaunter yang menjana pendapatan lazim dan konsisten kepada pelabur mengalami kenaikan baru-baru ini, katanya.

Mohd Sedek berkata keredaan konflik Asia Barat serta penstabilan harga minyak mentah Brent di bawah US$100 setong telah membantu mewujudkan persekitaran global yang bersifat lebih menyokong.

“Indeks utama dan lingkungan pasaran keseluruhan yang tidak selari menunjukkan pengimbangan semula portfolio yang berterusan bukannya kelemahan minat risiko, dengan penyertaan pelabur menjadi lebih meluas dan tidak hanya tertumpu kepada saham berwajaran tinggi dalam indeks utama,” katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM11.06, Public Bank turun empat sen kepada RM4.60, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing turun lima sen kepada RM7.50 dan RM8.70, manakala Tenaga Nasional menguncup 18 sen kepada RM14.14.

Bagi kalangan saham paling aktif, 5E Resources yang baru didagangkan di Pasaran ACE serta V.S. Industry masing-masing naik satu sen kepada 27 sen dan 19.5 sen, MMAG susut setengah sen kepada 3.5 sen, Zetrix AI menokok dua sen kepada 79 sen dan Velesto Energy menambah setengah sen kepada 33 sen.

Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak RM2.36 kepada RM33.00, Malayan Cement naik 31 sen kepada RM6.91, Hong Leong Industries dan Fraser & Neave masing-masing menokok 30 sen kepada RM17.04 dan RM30.10, manakala Itmax System meningkat 25 sen kepada RM4.94.

Antara kaunter paling rugi, Petronas Gas susut 36 sen kepada RM17.90, Petronas Chemicals turun 27 sen kepada RM5.63, MISC kurang 18 sen kepada RM8.18, dan United Plantations menguncup 14 sen kepada RM33.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 melonjak 127.01 mata kepada 17,503.27, Indeks FBM ACE meningkat 42.28 mata kepada 4,509.99, Indeks FBM Emas naik 3.01 mata kepada 12,409.26, Indeks FBM Emas Syariah menambah 19.48 mata kepada 12,332.07, manakala Indeks FBM Top 100 turun 3.55 mata kepada 12,248.34.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 0.48 mata kepada 824.01, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 24.48 mata kepada 19,648.39, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.06 mata kepada 187.59 dan Indeks Perladangan menguncup 38.15 mata kepada 8,902.63.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.68 bilion unit bernilai RM2.70 bilion daripada 1.57 bilion unit bernilai RM2.38 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran susut kepada 813.08 juta unit bernilai RM94.77 juta daripada banding 854.73 juta unit bernilai RM117.69 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula melonjak kepada 834.19 juta unit bernilai RM232.27 juta daripada 431.21 juta unit bernilai RM167.65 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 198.33 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (289.85 juta), pembinaan (155.49 juta), teknologi (307.55 juta), perkhidmatan kewangan (73.61 juta), hartanah (174.44 juta), perladangan (38.06 juta), amanah pelaburan hartanah (10.08 juta), dana tertutup (61,000), tenaga (187.03 juta), penjagaan kesihatan (112.58 juta), telekomunikasi dan media (72.25 juta), pengangkutan dan logistik (25.36 juta), utiliti (34.48 juta), dan amanah perniagaan (10,700).

-- BERNAMA