BERITA TERKINI   Kerajaan peruntuk RM3.5 juta perluas Program KasihnITa 2026, sasar 5,000 ibu tunggal di seluruh negara - Nancy | 

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari Disokong Sentimen Positif

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari ini, disokong oleh sentimen yang semakin baik dalam persekitaran harapan tinggi menjangkakan bahawa ketegangan di Asia Barat akan reda.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.85 mata atau 0.23 peratus kepada 1,687.27 daripada 1,683.42 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.44 mata kepada 1,684.60 serta bergerak antara 1,682.81 dan 1,690.83 sepanjang sesi dagangan pagi.

Pasaran secara menyeluruh positif dengan 628 kaunter untung berbanding 455 kaunter rugi manakala 491 kaunter tidak berubah, 1,157 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.30 bilion unit bernilai RM1.63 bilion.

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd dalam satu nota penyelidikan hari ini, sentimen pasaran kekal seimbang antara risiko geopolitik yang tinggi dan jangkaan akan berlaku penurunan pada minggu ketujuh konflik di Asia Barat.

Pasaran semakin mengambil kira fasa proses pasaran menyesuaikan harga berdasarkan jangkaan maklumat masa depan, disokong oleh penyusutan harga minyak daripada paras tertinggi baru-baru ini sekitar AS$113 setong.

“Kenaikan tersebut kekal terdedah kepada risiko pergerakan harga akibat laporan berita yang mengejutkan, sebarang kegagalan dalam rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran atau ketegangan konflik yang kembali memuncak di Selat Hormuz menjelang tamatnya tempoh gencatan senjata sementara pada 22 April boleh mengubah sentimen dengan pantas.

“Sehubungan itu, paras sokongan utama untuk FBM KLCI adalah pada 1,664-1,673 manakala paras rintangan ditetapkan pada 1,705–1,717,” menurut Hong Leong Investment Bank.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank kekal tidak berubah pada RM11.06, Public Bank menambah enam sen kepada RM4.66 dan Tenaga Nasional naik 16 sen kepada RM14.30, manakala CIMB berkurangan lapan sen kepada RM7.42 dan IHH Healthcare turun satu sen kepada RM8.69.

Bagi saham paling aktif, Borneo Oil dan MMAG melonjak setengah sen masing-masing kepada satu sen dan empat sen, Zetrix AI menambah tiga sen kepada 82 sen, manakala Golden Destinations yang baru disenaraikan di Pasaran ACE susut tiga sen kepada 42 sen tetapi Inari Amertron menokok 12 sen kepada RM1.65.

Kaunter paling untung menyaksikan Malaysian Pacific Industries menambah 94 sen kepada RM33.94, UMS Integration naik 56 sen kepada RM6.06, United Plantations meningkat 52 sen kepada RM33.52, KESM Industries melonjak 29 sen kepada RM3.36 dan Hong Leong Bank melonjak 24 sen kepada RM22.24.

Antara kaunter paling rugi, Kuala Lumpur Kepong merosot 34 sen kepada RM21.16, PPB Group susut 18 sen kepada RM11.54, Press Metal Aluminium berkurangan 16 sen kepada RM7.85 dan Petronas Chemicals dan Ajinomoto menguncup 12 sen masing-masing kepada RM5.51 dan RM12.54.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 naik 42.14 mata kepada 12,290.48 dan Indeks FBM Emas menambah 45.27 mata kepada 12,454.53, Indeks FBM Mid 70 menambah 120.96 mata kepada 17,624.23, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 55.42 mata kepada 12,387.49, Indeks FBM ACE melonjak 27.06 mata kepada 4,537.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 54.01 mata kepada 19,702.40, Indeks Perladangan turun 9.76 mata kepada 8,892.87, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.85 mata kepada 186.74 manakala Indeks Tenaga berkurangan 6.90 mata kepada 817.11.

-- BERNAMA