KUSKOP Tingkat Langkah Untuk Kurang Beban PKS, Bank Sedia Beri Lebih Fleksibiliti
KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Kerajaan sedang mengambil langkah perlu bagi meringankan beban perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan tumpuan mengurangkan kos di peringkat akar umbi dan menambah baik akses kepada pembiayaan di tengah-tengah cabaran global yang semakin meningkat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Steven Sim Chee Keong berkata walaupun kos di peringkat global, seperti harga tenaga, tidak dapat dikawal kerana ia merupakan komoditi global, usaha sedang dijalankan untuk menguruskan kos di peringkat akar umbi.
“Dalam rangka kerja strategi ABCD oleh KUSKOP, secara khususnya, Mempercepatkan produktiviti, Pengurangan birokrasi, Kebolehcapaian modal dan Membangunkan akses pasaran...B ialah mengurangkan birokrasi. Birokrasi merupakan kos asas.
“Bagaimana kita boleh mengurangkan proses, masa menunggu, kos yuran, permit dan lain-lain.
“Kita cuba membantu dengan sebaik mungkin, bukan sahaja menerusi subsidi,” katanya pada sidang media sempena pengumuman dividen Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) di sini, hari ini.
Sim menambah bahawa kementeriannya juga turut bekerjasama dengan industri sokongan utama, termasuk institusi kewangan, agar terus menyokong perniagaan.
“Minggu lepas, kami telah berbincang dengan institusi kewangan, bank dan bank perdagangan. Saya telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi 16 bank dan kesemuanya bersetuju.
“Pertama, kami akan memasarkan lebih banyak produk PKS dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan kedua, bank juga telah bersetuju untuk membenarkan lebih banyak fleksibiliti bagi syarikat yang berdepan masalah,” katanya.
Beliau berkata syarikat boleh menghubungi bank berdasarkan kes masing-masing bagi meneroka pilihan yang disediakan seperti penstrukturan semula, pembiayaan semua atau jika perlu, moratorium.
“Saya sudah mengeluarkan kenyataan selepas mesyuarat itu. Saya memaklumkan bahawa syarikat boleh menghubungi bank berdasarkan kes demi kes dan berbincang mengenai pilihan seperti penstrukturan semula, pembiayaan semula atau berdasarkan kes demi kes, jika perlu, moratorium,” katanya.
Selain itu, kementerian juga mengadakan pertemuan dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi mencari jalan untuk mengurangkan kos berkaitan tenaga bagi sektor perniagaan, terutamanya PKS.
“Saya telah berbincang dengan TNB dan kami juga telah mengeluarkan kenyataan mengenai cara kami boleh bekerjasama dengan TNB untuk membantu sektor ini, terutamanya PKS, bagi mengurangkan kos asas berkaitan dengan penggunaan tenaga,” katanya.
Katanya, walaupun situasi di peringkat global masih mencabar, usaha sedang dijalankan untuk melaksanakan strategi yang telah digariskan, di samping menggalakkan perniagaan untuk turut meneroka peluang yang timbul daripada ekonomi geopoliitk.
-- BERNAMA