Bursa Malaysia Dibuka Rendah
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan pelabur mengambil langkah berhati-hati walaupun terdapat kenaikan di Wall Street pada Jumaat lepas didorong ketidaktentuan berpanjangan di Asia Barat.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 3.20 mata kepada 1,692.01 daripada 1,695.21 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.71 mata kepada 1,693.50.
Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan 252 kaunter rugi mengatasi 202 kaunter untung manakala 338 kaunter tidak berubah, 1,966 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 223.31 juta saham bernilai RM152.16 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata perkembangan awal adalah positif selepas Iran mengisytiharkan Selat Hormuz dibuka.
“Walaupun perkembangan awal adalah positif, keadaan kekal tidak menentu apabila Iran dilaporkan menyatakan bahawa Selat Hormuz ditutup semula selepas beberapa kapal diserang,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, beliau menjangka FBM KLCI berada dalam julat 1,690 hingga 1,700 hari ini, dengan sentimen berhati-hati.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menurun empat sen kepada RM11.06, Public Bank berkurangan dua sen kepada RM4.66, Tenaga Nasional merosot empat sen kepada RM14.28, CIMB Group menyusut satu sen kepada RM7.46 manakala IHH Healthcare meningkat tujuh sen kepada RM8.80.
Dalam senarai paling aktif, AirAsia X menurun lima sen kepada RM1.28, VS Industry meningkat setengah sen kepada 20 sen, Capital A berkurangan satu sen kepada 46 sen, Inari Amertron menambah empat sen kepada RM1.69 manakala Pharmaniaga tidak berubah pada 24 sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, Allianz Malaysia meningkat 20 sen kepada RM21.40, Dutch Lady naik 12 sen kepada RM32.38, LPI Capital menambah 10 sen kepada RM14.40, Petronas Chemicals menokok sembilan sen kepada RM5.66 dan UWC naik tujuh sen kepada RM4.54.
Kaunter paling rugi termasuklah United Plantations, merosot 50 sen kepada RM33.68, Fraser & Neave menurun 20 sen kepada RM30.80, Alliance Bank berkurangan 16 sen kepada RM4.64, UMS Integration menyusut 10 sen kepada RM6.00 dan Nestle menurun 10 sen kepada RM98.90.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 merosot 20.64 mata kepada 12,330.57, Indeks FBM Emas menurun 21.79 mata kepada 12,496.38, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 18.12 mata kepada 17,705.61, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 6.94 mata kepada 12,441.12 dan Indeks FBM ACE merosot 21.42 mata kepada 4,578.23.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan menurun 23.99 mata kepada 8.904.67, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 61.72 mata kepada 19.752.95, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.41 mata kepada 188.45 dan Indeks Tenaga berkurangan 0.06 mata kepada 815.71.
-- BERNAMA