BERITA TERKINI   Airbus mengesahkan AirAsia tempah 150 pesawat A220, satu perjanjian bersejarah untuk model itu. | 

MDEC Mudah Cara Potensi Peluang Bernilai RM450 Juta Di Sushi Tech Tokyo 2026

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memudah cara potensi peluang bernilai lebih RM450 juta pada SusHi Tech Tokyo 2026, antara platform pemula niaga dan inovasi terkemuka di Asia.

Dalam satu kenyataan hari ini, MDEC berkata SusHi Tech Tokyo menggalakkan kerjasama antara syarikat pemula, korporat dan pemain ekosistem bagi memacu inovasi dalam menangani cabaran bandar global.

MDEC turut memudah cara pertukaran memorandum persefahaman (MOU) antara syarikat Malaysia, CitySage Sdn Bhd dan syarikat berpangkalan di Jepun, Eight Knot Inc, bagi meneroka aplikasi mobiliti perairan pintar, termasuk mengenal pasti laluan maritim berpotensi tinggi yang selaras dengan pembangunan pesisir dan perancangan infrastruktur.

Kerjasama CitySage-Eight Knot merupakan sebahagian daripada saluran eksport lebih luas yang dimudah cara oleh MDEC, mencerminkan permintaan global kukuh terhadap penyelesaian digital dan berteraskan kemampanan dari Malaysia merangkumi kecerdasan buatan (AI), robotik dan sistem autonomi, daya tahan bandar dan teknologi iklim, teknologi makanan, GovTech serta bandar pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil berkata penyertaan MDEC dalam acara itu mencerminkan usaha berterusan agensi berkenaan untuk memperluas akses pasaran global bagi syarikat teknologi dari Malaysia.

“Kerjasama dan peluang eksport yang difasilitasi menerusi platform ini menunjukkan kesiapsiagaan penyelesaian digital Malaysia untuk berkembang di peringkat antarabangsa, seiring kita membina ekonomi digital dipacu AI yang bersedia masa hadapan menjelang 2030,” katanya.

Pada masa sama, kerjasama berkenaan juga menandakan satu langkah penting dalam hubungan Malaysia-Jepun berkaitan penyelesaian mobiliti pintar.

Dalam pada itu, syarikat sains bahan dan agroteknologi tempatan Qarbotech Sdn Bhd memenangi hadiah utama dalam pertandingan SusHi Tech Challenge 2026 Global Pitch, sekali gus menonjolkan daya saing syarikat Malaysia menerusi platform penglibatan platform global MDEC.

-- BERNAMA