HAVANA, 23 Okt (Bernama-dpa) -- Lebih 70 peratus bekalan elektrik di Cuba dipulihkan selepas negara itu dilanda gangguan bekalan selama beberapa hari, manakala Taufan Oscar menyebabkan kemusnahan besar di seluruh pulau, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Angka kematian akibat bencana itu meningkat kepada tujuh orang, termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun, menurut kenyataan kerajaan.
Sementara itu, bekalan elektrik di wilayah timur Guantánamo belum dipulihkan sepenuhnya susulan banjir dan kemusnahan akibat bencana alam.
Pegawai kerajaan menghadapi cabaran besar untuk sampai ke kawasan-kawasan yang paling terkesan, dalam keadaan Cuba turut bergelut dengan krisis ekonomi terburuk sejak revolusi Fidel Castro pada 1959.
Gangguan bekalan elektrik di seluruh negara pada Jumaat lalu berpunca daripada rangkaian grid elektrik negara yang sudah uzur.
Ahli ekonomi Cuba, Pedro Monreal mengkritik keutamaan perbelanjaan kerajaan di platform media sosial X, dengan menyatakan terlalu banyak wang disalurkan kepada sektor pelancongan sementara infrastruktur penting diabaikan, walaupun jumlah pelawat semakin menurun.
Kekecewaan dalam kalangan rakyat menyebabkan protes kecil berlaku di seluruh negara sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Presiden Cuba, Miguel Díaz-Canel menolak demonstrasi itu, menyifatkannya sebagai tindakan orang mabuk yang mengganggu ketenteraman.
-- BERNAMA-dpa