GAYA HIDUP

Suka Duka Raikan Deepavali Jauh Dari Keluarga Di Luar Negara

24/10/2024 10:40 AM

Oleh N. Kuvineshwaren

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Di Malaysia, Deepavali atau Pesta Cahaya bukan sekadar perayaan keagamaan, tetapi turut melambangkan perpaduan, tradisi dan perkongsian memori yang menjadi jambatan kepada pelbagai budaya di negara ini.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang meraikan perayaan itu dan menetap di luar negara, ketibaan Deepavali membangkitkan rasa rindu kepada kaum keluarga dan nostalgia sambutan di tanah air.

Antara mereka ialah L. Deveeshwaran, 25, seorang anggota polis bantuan berpangkalan di Singapura, yang menyifatkan sambutan Deepavali pada 31 Okt ini sebagai suram, kerana baru sahaja kehilangan nenek tersayang yang meninggal dunia awal tahun ini. 

“Datuk dan nenek merupakan tonggak keluarga kami, terutama ketika perayaan. Mereka yang menurunkan tradisi. Tahun ini saya berasa amat sedih kerana nenek sudah tidak lagi bersama-sama kami,” katanya kepada Bernama.

Kongsinya, setiap kali sambutan Deepavali, neneknya akan menghabiskan masa berjam-jam di dapur menyediakan pelbagai juadah enak seperi muruku,  nei urundai (bebola gi atau minyak sapi)  dan athirasam, namun kini semua itu hanya tinggal kenangan. 

“Lazimnya kami akan bangun awal pagi untuk mandi minyak dan nenek akan pastikan kami mulakan hari dengan upacara sembahyang.

“Namun ini bukan tentang makanan atau ritual, sebaliknya tentang nenek, tentang kasih sayangnya dan kisah-kisah yang diceritakan oleh nenek kepada kami. Tanpa nenek, sambutan Deepavali tidak lagi seperti dulu,” kongsinya.

Sementara itu,  A. Vikesh Varma, 23, pelajar bioteknologi tumbuhan di Universiti Kebangsaan Malaysia, mengimbau pengalaman menyambut Deepavali semasa program pertukaran pelajar di Indonesia dua tahun lepas.

“Perasaan bercampur baur... ada rasa gembira, ada rasa sedih. Mujurlah saya turut membawa bersama pakaian tradisional yang dapat saya pakai ketika sambutan itu. Justeru, walaupun tidak bersama keluarga, saya dapat meraikan perayaan tersebut dengan orang di sekeliling saya,” katanya.

pic-2

Menurut Vikesh, walaupun sambutannya tidak sama seperti di Malaysia, dia masih dapat merayakan budayanya itu bersama-sama pelajar berketurunan India dan rakyat Indonesia yang ingin mengetahui tentang festival tersebut.

Tambahnya, berada jauh dari sisi keluarga membuatkan dia lebih menghargai susur galur  budayanya selain mengajar dia bahawa sambutan Deepavali boleh diraikan di mana-mana sahaja, bukan di kampung halaman semata-mata.

Bagi L. Thenu, 24, seorang pelajar kejuruteraan elektrik dan elektronik di University of Southampton, United Kingdom, kali pertama meraikan Deepavali di luar negara agak menggentarkan, namun rakan-rakan memastikan sambutan itu istimewa buatnya. 

“Kami melawat kuil di London yang agak sesak dan bersembahyang sebelum menikmati makanan India di luar kuil. Apabila balik ke rumah, kami sediakan makanan bersama-sama,” katanya.

Thenu dan rakan-rakannya membuat perancangan dari awal termasuk juadah yang ingin dimasak, menjadikan segalanya berjalan lancar.

“Kalau di kampung, orang lain yang sediakan untuk saya, tetapi di luar negara segalanya dilakukan sendiri oleh saya dan kawan-kawan, termasuk merancang, memasak dan mengadakan majlis kecil. Memang menyeronokkan,” kongsinya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy