Oleh Azli Shafii
KOTA BHARU, 24 Okt (Bernama) -- Kelantan Warriors bertekad memastikan pasukan itu mara ke peringkat suku akhir saingan Liga Premier, Liga Sepak Takraw (STL 2024) yang akan diadakan di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, Johor, dari 29 Oktober hingga 2 Nov depan.
Pengurus Kelantan Warriors Mahizi Mohmood berkata sasaran tersebut penting bagi mengelakkan pasukan daripada tersingkir ke Liga Divisyen 1 STL pada musim depan.
"Pemain dan pegawai pasukan perlu bekerja keras bagi memastikan Kelantan Warriors tidak berada pada zon penyingkiran ke Liga Division 1 musim depan.
"Walaupun kedudukan Kelantan Warriors dianggap selamat dengan menduduki tangga kesembilan ketika ini, namun ia bukan jaminan kerana pasukan yang berada di kedudukan bawah mampu mencipta kejutan pada perlawanan selepas ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada saingan Liga Premier STL 2024 Grand Prix (GP) di Johor nanti, Kelantan Warriors diundi dalam Kumpulan B bersama dua pasukan lain iaitu Bomba Fighters dan PDRM Defenders.
Mengulas lanjut, Mahizi berkata saingan GP di Johor bukanlah tugas mudah kerana rata-rata pasukan yang bertanding akan melakukan rombakan dengan membawa masuk pemain baharu untuk memperkuat pasukan.
"Masa yang ada harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh jurulatih Rukman Mustafa untuk memperbaiki kelemahan yang dikenalpasti sebelum turun menentang Bomba Fighters pada Rabu depan (30 Sept).
"Kesemua pemain juga dilihat bersiap sedia menghadapi perlawanan seterusnya dan berikrar untuk berjuang bermati-matian dalam usaha mengutip mata berharga supaya berada di kedudukan selesa dan kekal beraksi pada saingan Liga Premier STL tahun depan," katanya.
Kelantan Warriors ketika ini berada di tangga kesembilan daripada 12 pasukan yang bertanding dalam Liga Premier STL 2024 dengan memperoleh 20 mata.
-- BERNAMA