SUKAN

SOJC: Bertemu Jepun Young Tigers Ditagih Berjuang Habis-habisan

26/10/2024 11:24 AM

JOHOR BAHRU, 26 Okt (Bernama) -- Skuad Young Tigers ditagih berjuang habis-habisan dalam perlawanan menentang Jepun pada aksi akhir penentuan kedudukan kelima dan keenam Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Johor di sini hari ini.

Ketua Jurulatih I Vikneswaran berkata skuad remaja negara perlu memastikan kemenangan selepas tewas dalam kelima-lima perlawanan pusingan.

“Kita harus bangkit, walaupun dengan masa yang sangat singkat, pemain harus bangun awal pagi ke stadium setelah bertemu Australia malam tadi.

"Bagaimanapun, pemain harus bersedia dan memanfaatkan tempoh singkat ini dan mereka kena ambil serius serta berjuang habis-habisan," katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Australia yang menyaksikan Young Tigers kecundang 3-9 di sini malam tadi.

Beliau berkata anak buahnya perlu memperbaik kesilapan agar tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti yang diperoleh.

"Kita peroleh lapan peluang pukulan sudut penalti menentang Australia dan dua daripadanya berjaya dijaringkan tetapi sudah tentu kita seharusnya buat lebih jaringan. 

"Pemain telah berusaha keras dan buat yang terbaik namun itu sahaja tidak mencukupi. Mereka perlu tahu apa yang perlu dilakukan untuk tidak melakukan kesilapan sama,’’ katanya.

Bagaimanapun, Vikneswaran berkata anak buahnya telah mencuba melakukan yang terbaik sekali gus percaya mereka mampu menunjukkan kemampuan sebenar setelah menimba pengalaman bersaing dalam kejohanan itu yang merupakan kejohanan bertaraf antarabangsa pertama disertai skuad remaja.

Young Tigers yang berada di kedudukan tercorot dijadualkan berdepan Jepun pada 3.35 petang ini bagi penentuan kedudukan kelima dan keenam  diikuti India bertemu New Zealand untuk penentuan kedudukan ketiga dan keempat sementara Australia menentang Great Britain di final.

Pada tahun lepas, Malaysia menamatkan saingan di tempat ketujuh selepas menewaskan Afrika Selatan 3-2 pada perlawanan penentuan kedudukan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy