AM

Pihak Berkuasa Diseru Jalankan Pemantauan Ketat Harga Barangan Basah Sempena Deepavali - MIC

26/10/2024 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Pihak berkuasa digesa menjalankan pemantauan rapi di pasar-pasar seluruh negara dan mengambil tindakan tegas terhadap penjual yang didapati menaikkan harga barangan basah secara tidak munasabah menjelang Deepavali yang akan disambut pada 31 Okt ini, kata Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah.

Beliau berkata langkah ini penting untuk memastikan harga barangan kekal stabil dan adil untuk semua pengguna.

“Saya telah menerima banyak aduan daripada orang ramai yang meluahkan kebimbangan mereka berhubung kenaikan harga barangan basah sempena Deepavali.

“Mereka amat terkesan dengan kenaikan harga yang mendadak dan berharap tindakan segera dapat diambil bagi menangani situasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Murugiah berkata kerjasama pihak berkuasa dalam menangani isu ini amat dihargai demi menjaga kebajikan masyarakat dan memastikan sambutan perayaan berlangsung dengan meriah tanpa tekanan ekonomi yang berlebihan.

“Kenaikan harga ini telah membebankan pengguna, khususnya masyarakat yang meraikan perayaan ini, selain menimbulkan keresahan dalam kalangan pembeli yang terpaksa menanggung kos tinggi bagi barangan keperluan harian,” katanya.

Murugiah berkata bahawa hampir semua pasar di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Seremban, Melaka, Ipoh, Manjung, dan Pulau Pinang turut mengalami kenaikan harga barangan basah.

Katanya selain sayur-sayuran, harga makanan laut seperti ikan, udang, ketam, sotong mengalami kenaikan secara mendadak di beberapa kawasan, dengan keadaan di Pasar Lama PJ didapati antara yang paling teruk terjejas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy