JAKARTA, 26 Okt (Bernama) -- Indonesia telah memulakan proses permohonan untuk menyertai BRICS, menurut Kementerian Luar Indonesia.
Jurucakapnya Rolliansyah Soemirat berkata Menteri Luar Sugiono menyatakan komitmen negara untuk bekerjasama dengan anggota BRICS semasa kenyataan negara Indonesia di Sidang Kemuncak BRICS Plus baru-baru ini di Kazan, Rusia.
"Indonesia ingin bekerjasama dengan negara-negara BRICS dan negara-negara lain di Selatan Global dalam pembangunan mampan serta reformasi sistem multilateral untuk menjadikannya lebih terangkum dan mewakili realiti semasa.
Diharapkan Indonesia dan negara-negara dalam BRICS dapat menjadi kuasa perpaduan dan solidariti di kalangan negara-negara Selatan Global," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Rolliansyah berkata permohonan Indonesia akan dinilai berdasarkan mekanisme yang ditetapkan dalam kumpulan itu, sebagaimana dinyatakan dalam surat rasmi daripada Menteri Luar yang disampaikan secara langsung kepada Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.
"Keinginan Indonesia untuk menyertai BRICS mencerminkan komitmen kami terhadap dasar luar yang bebas dan aktif, mengelakkan penjajaran dengan mana-mana blok tertentu sambil terus menyertai semua forum," katanya.
Beliau berkata objektif ini selaras dengan keutamaan negara-negara BRICS dan program kerja kerajaan Indonesia dalam bidang keterjaminan makanan, daya tahan tenaga, pembasmian kemiskinan dan pembangunan sumber manusia.
Sejak menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-15 di Afrika Selatan pada Ogos 2023 sebagai Pengerusi ASEAN 2023, Indonesia telah menilai potensi keanggotaan, terutama manfaat ekonomi sekiranya ia menyertai BRICS.
BRICS pada awalnya ditubuhkan sebagai "BRIC" yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, dan China, pada tahun 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi pesat membangun utama, dan pada tahun 2010, Afrika Selatan dijemput menyertainya, menjadikan nama BRICS seperti sekarang.
Keahliannya diperluas pada 2023 dengan penambahan Ethiopia, Iran, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu.
--BERNAMA