EKONOMI

AS Minat Jalin Perkongsian Perubahan Iklim Dengan Malaysia, Tumpu Bahan Api Penerbangan Mampan

27/10/2024 10:14 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) berminat untuk meneroka perkongsian perubahan iklim dengan Malaysia, menumpukan kepada bahan api penerbangan mampan (SAF).

Langkah tersebut merupakan antara usaha negara itu untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mencapai masa depan yang bersih dan berdaya tahan berasaskan iklim hijau.

Kaunselor Ekonomi di Kedutaan AS Kuala Lumpur Dave Williams berkata hasrat untuk menjalinkan perkongsian itu adalah sebahagian daripada inisiatif iklim Washington, susulan kelulusan rang undang-undang pendanaan iklim AS 2022 dan Akta Pengurangan Inflasi, yang meliputi kredit cukai untuk SAF.

Bagi tujuan itu, tiga jabatan AS iaitu Jabatan Pertanian, Jabatan Tenaga dan Jabatan Pengangkutan telah memberikan komitmen untuk bekerjasama bagi meningkatkan pembangunan dan penggunaan SAF, katanya kepada Bernama hari ini.

SAF adalah bahan penting untuk penyahkarbonan perjalanan udara, merujuk kepada matlamat AS untuk mengurangkan gas rumah hijau, berbanding dengan penggunaan bahan api pesawat berasaskan petroleum.

“Oleh itu, kami berharap Malaysia dapat memanfaatkan teknologi baharu dan usaha pengkomersialan SAF, dan kami mengalu-alukan usaha Malaysia dalam bidang ini,” katanya.

Menurut laporan, penerbangan komersial bertanggungjawab terhadap dua hingga tiga peratus daripada pelepasan karbon global dan peratusan itu dijangka terus meningkat susulan pemulihan industri penerbangan komersial yang sedang rancak daripada kesan pandemik COVID-19.

Beliau berkata dalam menghadapi cabaran itu, AS menghargai kerjasama dengan Malaysia dalam memenuhi matlamat iklim bersama.

Williams berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kedutaan AS telah menganjurkan beberapa bengkel yang menekankan aspek iklim dan mengatur lawatan sambil belajar ke AS untuk pegawai Malaysia.

Matlamatnya supaya kalangan pegawai itu mempelajari teknologi dan program AS termaju di samping memudahkan penyertaan dalam acara bertumpuan iklim di bawah rangka kerja bantuan teknikal, katanya.

Beliau berkata menangani krisis iklim telah menjadi keutamaan kerajaan AS.

“Berdasarkan Strategi Keselamatan Nasional AS 2022, krisis iklim merupakan 'cabaran eksistensial zaman kita',” katanya.

Beliau berkata isu iklim telah menjejaskan hampir setiap aspek dasar luar dan keselamatan negara AS dan perkara itu akan terus membentuk geopolitik selama beberapa dekad.

“AS sedang mengambil tindakan yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini dan bekerjasama dengan rakan di seluruh dunia, termasuk Malaysia, untuk menangani krisis ini,” katanya.

Bagi AS, beliau juga menyuarakan harapan agar Akta Pengurangan Inflasi akan memberikan insentif dan mempercepat penggunaan teknologi yang lebih bersih dan lebih lestari untuk membantu mencapai matlamat sifar bersih.

Dari segi meningkatkan keselamatan di peringkat rantau dan global, Williams berkata AS bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Kementerian Pengangkutan mengenai keselamatan penerbangan.

“Baru-baru ini, Penolong Pentadbir Eksekutif, Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA), Melanie Harvey -- individu berkedudukan ketiga tertinggi di TSA -- berada Malaysia untuk membincangkan keselamatan penerbangan dan melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy