KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Seorang wanita warga Indonesia mendakwa kerugian lebih RM4 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan mata wang asing (Forex) yang berpangkalan di Labuan.
Wanita yang hanya dikenali dengan nama Suzy, 53, berkata beliau mula melabur dalam syarikat pelaburan itu sejak 2020 lepas dengan wang berjumlah $1.3 juta dolar Singapura yang dimasukkan ke dalam dua akaun bank tempatan milik syarikat berkenaan.
Wanita yang menetap di Singapura itu berkata beliau hanya sempat menikmati dividen kira-kira 20 peratus setahun pada 2021 dan 2022 sebelum syarikat berkenaan mula memberi pelbagai alasan apabila ditanya mengenai dividen pada tahun lepas.
"Bila saya tanya mengenai dividen tahun ini syarikat itu beritahu antaranya lesen syarikat digantung kerajaan dan hingga sekarang saya juga tidak boleh mengeluarkan wang yang dideposit ke dalam akaun syarikat tersebut," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim.
Sementara itu, Hishamuddin berkata pihaknya telah menerima 69 aduan daripada mangsa dari Singapura, Indonesia dan Brunei yang terpedaya dengan sindiket pelaburan berkenaan melibatkan kerugian RM40 juta.
Beliau berkata sindiket pelaburan tersebut memperdayakan mangsa dengan menggunakan lesen broker kewangan yang didaftarkan di Labuan dan menggunakan khidmat agensi pemasaran untuk mencari individu yang berminat untuk melabur.
Beliau juga mendakwa sindiket itu bertanggungjawab memperdayakan lebih 500 rakyat tempatan dengan kerugian dianggarkan RM100 juta.
Hishamuddin berata beliau difahamkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap 90 peratus kes yang melibatkan rakyat tempatan dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Saya percaya terdapat elemen jenayah rentas sempadan dalam kes ini dan kerajaan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat serta individu bertanggungjawab kerana ia melibatkan syarikat didaftarkan di negara ini dan wang dimasukkan ke akaun bank tempatan.
“Pihak berkuasa perlu mengambil serius kes ini bagi menjaga nama baik negara supaya tidak dilihat sebagai hab sindiket penipuan,” katanya.
-- BERNAMA