KUALA TERENGGANU, 29 Okt (Bernama) -- Polis menahan tujuh lelaki termasuk dua warga Bangladesh dipercayai terlibat atas pelbagai kesalahan menerusi Op Bersepadu Mega Kontinjen Terengganu - Op Lusuh yang dijalankan serentak di tujuh daerah Ahad lepas.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata antara kesalahan itu ialah tiada lesen meniaga barang lusuh yang sah, menggunakan khidmat pekerja asing tanpa permit kerja yang sah dan gagal memberi keterangan yang munasabah terhadap barang rampasan.
Beliau berkata operasi dijalankan oleh 60 pegawai dan anggota polis selain dibantu penguat kuasa daripada pihak berkuasa tempatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia (TM).
"Operasi dijalankan di 12 premis kedai besi buruk dan kedai potong di sekitar Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman, Besut, Hulu Terengganu dan Setiu.
“Polis turut merampas pelbagai barangan antaranya guni berisi logam tembaga seberat 35 kilogram (kg), lima unit enjin motokar, dua unit bateri solar, satu guni mengandungi keratan logam dipercayai milik TM, alat penimbang, casis motokar dan buku daftar jual beli dengan nilai rampasan dianggar RM12,550,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946; Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63; dan Seksyen 55B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Kompaun juga telah dikeluarkan antaranya oleh PBT mengikut beberapa seksyen dan undang-undang kecil berkaitan," katanya.
Mohd Khairi berkata Op Bersepadu akan dijalankan secara berkala dan terancang di setiap daerah bertujuan mencegah jenayah harta benda.
Beliau turut mengingatkan pemilik dan penjaga premis supaya tidak terlibat atau bersekongkol dalam menjual atau membeli barangan lusuh dengan mana-mana individu atau kumpulan jenayah.
-- BERNAMA