KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Lebih banyak perkembangan menarik akan berlaku di Johor dalam masa terdekat, khususnya dalam sektor pusat data, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata Johor kini menjadi tumpuan utama global, berikutan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"Terdapat lebih 50 pusat data di Johor, sama ada yang sedang dalam permohonan, dalam pembinaan atau sudah beroperasi. Saya percaya akan ada lebih banyak lagi pusat data ditubuhkan selepas ini.
"Saya berada di sana pada hujung minggu bersama Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi), dan antara perbincangan utama adalah matlamat Johor untuk mewujudkan ekosistem yang menyokong sepenuhnya industri pusat data," kata pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Amazon Web Services (AWS) Cloud Day Malaysia di sini hari ini.
Gobind dalam pada itu berkata terdapat cabaran dalam mengekalkan tenaga kerja tempatan.
“Sebagai contoh, pelaburan dalam industri seperti semikonduktor menuntut tenaga kerja dengan kemahiran kejuruteraan lanjutan, namun bilangannya agak terhad.
"Oleh itu, kita bukan sahaja perlu membangunkan bakat tetapi juga memberi insentif kepada mereka untuk membina kerjaya di Malaysia. Usaha sedemikian akan memastikan apabila pelaburan mengalir ke Malaysia, mereka menyumbang kepada membina tenaga kerja mahir dengan peluang jangka panjang," katanya.
AWS Cloud Day Malaysia, acara sehari yang diadakan hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, adalah perhimpunan teknologi terbesar di negara ini bertujuan memperkasakan perniagaan, pemaju dan pemimpin untuk memanfaatkan potensi penuh teknologi awan dan kemajuan terkini dalam kecerdasan buatan.
Sementara itu, pengurus negara AWS Malaysia Pete Murray ketika berucap pada acara itu telah melancarkan AWS Tech Alliance Malaysia.
"Melaluinya, kami akan bekerjasama dengan agensi kerajaan, institusi akademik dan vokasional serta majikan untuk bersama-sama memupuk generasi pembina dan bakat awan yang akan datang.
“Tech Alliance Malaysia akan menyediakan pelajar dengan perjalanan dari mula hingga akhir, memahirkan mereka menggunakan AWS dan mempamerkan keupayaan mereka kepada perniagaan yang berkembang pesat, yang mencari kemahiran dalam permintaan,” katanya.
Murray berkata Tech Alliance Malaysia kini bekerjasama dengan 25 institusi di Malaysia dan matlamatnya adalah untuk menghubungkan lebih 25,000 pelajar mahir dengan 40 perniagaan.
"Anda akan mendengar lebih lanjut tentang Tech Alliance Malaysia dan cara AWS menyelesaikan jurang kemahiran dan bakat di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA