LIPIS, 29 Okt (Bernama) -- Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengingatkan kepada pelajar bidang perguruan yang bakal menjadi pendidik untuk menggalas pekerjaan tersebut dengan sepenuh hati dan dedikasi.
Baginda bertitah tanggungjawab yang akan dipikul bakal guru ini, tidak kira sama ada bakal ditugaskan di sekolah kerajaan atau mana-mana institusi pendidikan adalah penting, memandangkan pembentukan pemimpin masa depan terletak pada tangan mereka.
“Dalam sebuah sekolah, kita ada budak pandai, ada tak pandai sangat, ada pandai bersukan, ada yang tak pandai bersukan, ada jenis kekok, malu, ada berkeyakinan dan juga ada tukang buli atau bukan jenis buli budak.
“Saya nak kabar kepada tuan-tuan dan puan-puan yang bakal cikgu di negeri dan negara kami ini, adalah penting untuk mengangkat generasi akan datang…nak jadi cikgu macam awak ini, yang akan membentukkan apa akan jadi pada negara masa akan datang,” titah baginda.
Tengku Hassanal bertitah demikian ketika berangkat ke Program Sejambak Kasih Peribumi Jiwa MADANI di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tengku Ampuan Afzan, di sini hari ini.
Berangkat sama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pada program sama, Tunku Azizah bersama Tengku Hassanal turut berkenan melawat pameran dan pertandingan masakan rimba, selain mengurniakan hadiah kepada pemenang bagi pertandingan yang diadakan sempena majlis berkenaan.
Dalam menggalas tanggungjawab tersebut, Tengku Hassanal turut mengingatkan bakal guru akan empat perkara penting yang perlu dititikberatkan iaitu agama, menghormati wanita, mematuhi undang-undang dan menjaga keharmonian pelbagai bangsa.
“Empat perkara paling penting yang mesti dijaga ialah agama. Apa-apa agama awak, Islam ke, Kristian ke, Hindu ke atau lain-lain, mesti berpegang teguh pada agama. Kedua, sebagai lelaki kita mesti menjaga wanita, pengorbanan mereka, memahami apa kesusahan telah dilalui mereka.
“Yang ketiga, ialah undang-undang. Bakal cikgu perlu mengingatkan pelajar atau sesiapa sahaja bahawa undang-undang mesti dihormati, diikuti, jangan mengajar orang buat salah atau menipu. Dan keempat, ialah keharmonian antara bangsa. Saya harap semua akan ingat titah ini,” titah baginda.
Berperanan besar dalam mendidik pelajar tidak hanya kepada akademik semata-mata, baginda bertitah bakal guru ini juga berperanan penting mengajar mereka prinsip kelestrian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Tengku Hassanal bertitah kepentingan penerapan ESG itu penting untuk bakal anak-anak generasi masa hadapan memahami tanggungawab bersama menjaga alam sekitar, khazanah negara untuk kekal lestari.
“Saya nak beri pesan, prinsip alam sekitar, sosial tadbir urus dan menjaga sosial, prinsip ESG itu adalah prinsip pembangunan baru. Dulu, masa kita budak-budak, mereka cakap mengenai CSR, Corporate Social Responsibility.
“Tapi sekarang, kita sudah masuk zaman baru (dan) itu adalah ESG. Dan ESG, ini adalah prinsip baru, penting untuk zaman kita tahu sekarang terutamanya untuk menjaga alam khazanah. Untuk zaman akan datang, kita tidak tahu, keadaan negeri, ekonomi dan kita perlu kembali kepada prinsip yang diajar di dalam ESG dan ini akan jimatkan kos (kerosakan),” titah baginda.
-- BERNAMA