EKONOMI

IATA Tawar Mata Wang Digital Dalam Sistem Penyelesaian Kewangan

29/10/2024 08:22 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) akan menawarkan mata wang digital dalam sistem penyelesaian kewangan yang dikendalikannya untuk industri penerbangan.

Mata wang digital pertama yang ditawarkan ialah Renminbi digital, yang akan tersedia dalam Pelan Penyelesaian dan Pengebilan China (BSP) menjelang akhir tahun ini, katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Naib Presiden Kanan untuk Penyelesaian Kewangan dan Perkhidmatan Pengedaran, Muhammad Albakri berkata China merupakan antara negara termaju dalam penggunaan mata wang digital.

"Menyedari trend ini, Jawatankuasa Syarikat Penerbangan China IATA meminta agar Renminbi digital dimasukkan ke dalam BSP.

"Ini merupakan satu perkembangan yang agak penting dan IATA akan menampung Renminbi digital menjelang akhir tahun," katanya lagi.

Persatuan itu juga akan mengkaji bagi menawarkan mata wang digital lain dalam sistem penyelesaiannya berdasarkan keperluan serta keperluan industri . 

“Pengalaman yang diperoleh dalam memperkenalkan Renminbi digital akan membantu IATA dalam menyesuaikan mata wang digital lain pada masa hadapan,” katanya.

IATA menambah mata wang Renminbi Luar Pesisir (CNH) kepada Perkhidmatan Pelepasan Mata Wang IATA (ICCS) pada Julai 2024 , menjadikan jumlah mata wang yang dikendalikan oleh perkhidmatan itu kepada 74.

ICCS merupakan sistem pengurusan tunai global IATA yang membolehkan bendahari syarikat penerbangan menghantar pulang dana jualan dalam mata wang pilihan mereka, menghasilkan pengurusan modal kerja yang lebih baik selain mengurangkan risiko pertukaran asing.

“Di tengah-tengah integrasi Renminbi digital dan semua sistem penyelesaian kerja yang lain, adalah satu keperluan untuk melayani pelanggan dan menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku mereka dalam kaedah pembayaran. Pembayaran seharusnya lancar. 

"Seseorang pelanggan tidak wajar dikecewakan hanya kerana tidak mempunyai kaedah pembayaran pilihan mereka, dan syarikat penerbangan tidak sepatutnya menanggung rugi dalam mendapatkan nilai yang sepatutnya daripada jualan tiket mereka," tambah Muhammad.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy