AM

Nur Arianna Qaisara Menang Dana "#SheCan" Kotex Malaysia

29/10/2024 10:01 PM

KUALA LUMPUR,  29 Okt (Bernama) -- Impian seorang pelajar universiti menganjurkan pertandingan Festival AI (kecerdasan buatan) dan hackathon wanita pertama bakal tercapai apabila tampil sebagai pemenang utama geran kempen Dana #SheCan oleh Kotex Malaysia.

Menerusi kemenangan itu, Nur Arianna Qaisara Abdulllah, 19, berjaya membawa pulang geran bernilai RM20,000 yang bakal dimanfaatkan untuk memperkasakan penglibatan golongan wanita dalam industri teknologi.

"Semakin ramai wanita yang melibatkan diri dalam industri teknologi dan menerusi penganjuran pertandingan ini saya mahu membuktikan kepada dunia yang wanita juga mampu menjadi peneraju dan berinovasi dalam industri teknologi terutama AI," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian geran itu di sini hari ini.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Universiti Malaya itu juga berkata setakat ini pihaknya telah mempunyai beberapa tenaga pekerja dan sokongan bukan kewangan daripada beberapa syarikat . 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Pemasaran IntelliLabs itu juga telah memenangi beberapa pertandingan hackathon bertaraf antarabangsa sebelum ini dan berhasrat mengadakan festival tersebut pada hujung tahun ini melibatkan peserta berusia 17 hingga 30 tahun.

Nur Arianna Qaisara merupakan antara 11 pemenang  pertandingan Dana #SheCan Kotex 2024 yang menawarkan geran sejumlah RM105,000 kepada 11 penerima yang layak. 

Pertandingan tahun kelima itu dijalankan selama dua bulan dan menarik lebih 300 penyertaan dari seluruh negara, dengan tujuan penganjuran antara lain bagi mengajak gadis Malaysia berkongsi impian, memecahkan diskriminasi gender, dan memberi inspirasi kepada kemajuan wanita.

Dana tahun ini diadakan sebagai lanjutan kempen #SheCanPeriod yang merupakan edisi terhad jenama Kotex, dengan menampilkan pek Kotex Soft and Smooth yang diberi wajah baharu sebagai penghormatan kepada wanita yang berjaya mengatasi halangan serta melangkaui batas kamampuan diri.

Mengulas kemenangan Nur Arianna Qaisara, Pengurus Kanan Jenama Kotex Malaysia Sarah Chen berkata ketekunan, dedikasi dan misi yang jelas dibawa gadis itu antara kriteria yang berjaya memenangi hati juri hingga dipilih sebagai pemenang utama.

"Misi yang dikongsinya selari dengan matlamat kami iaitu memecah tembok halangan bagi wanita dalam industri yang didominasi lelaki dan dia bukan sahaja minat dalam bidang AI tapi dia telah berada dalam bidang itu. Kami lihat misinya bakal memberi inspirasi dan impak kepada masyarakat," katanya.

Chen berkata pihaknya juga berharap lebih ramai wanita akan mendapat inspirasi dan tampil lebih berani mengejar impian masing-masing tidak kira dalam apa jua bidang. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy