KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kaedah dan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 yang dicadang dilaksanakan pada pertengahan tahun depan, masih sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan (MOF).
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abd Munim berkata pada masa ini, sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan giat dijalankan, untuk membincang dan mencari kaedah yang terbaik.
“Kita nak pastikan apabila dilaksanakan pemberian subsidi bersasar ini nanti, ia tidak mengakibatkan kekalutan dan keresahan ramai terutama dari sudut proses dan operasinya.
“Jadi dalam tempoh ini, perinciannya harus diilihat dengan mendalam dan yang pasti apabila dilaksanakan, kebajikan rakyat terutama mereka yang dalam kelompok benar-benar layak, akan terus menerima subsidi berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara - Merealasikan Belanjawan 2025: ‘Tingkatkan Ekonomi B40 Ke Arah Masyarakat Produktif’, terbitan Bernama TV malam ini.
Semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi berkenaan, kerana ingin menjimatkan sehingga RM8 bilion, hasil 40 peratus subsidi petrol RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan maha kaya ketika ini.
Bagaimanapun beliau memberi jaminan kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik, apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan dengan langkah berkenaan.
-- BERNAMA