AM

PIC Gerakkan Petugas Bantu Bersihkan Pantai Esen

30/10/2024 04:21 PM

GEORGE TOWN, 30 Okt (Bernama) -- Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) menggerakkan sebuah pasukan bagi membantu kerja-kerja pembersihan Pantai Esen di Permatang Damar Laut, dekat sini Sabtu lepas yang sebelum ini dipenuhi bahan seakan lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif PIC Datuk Seri Farizan Darus berkata dalam tempoh lima jam, 10 petugas yang terlibat berjaya mengumpulkan sekitar 20 beg bahan yang dipercayai alga.

Beliau berkata usaha pembersihan akan terus dilakukan pihaknya di pantai peranginan itu selain memantau kemungkinan kejadian serupa berulang. 

"Sebagai jiran korporat yang bertanggungjawab, PIC mengambil maklum kebimbangan komuniti berhubung bahan seakan lumpur yang dikesan di Pantai Esen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun pembersihan itu merupakan langkah reaktif, PIC juga bekerjasama rapat dengan pakar alam sekitar yang sedang menjalankan penyelidikan menyeluruh untuk mengenal pasti punca utama kejadian itu.

"Penemuan mereka akan memaklumkan penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan dan menguruskan kemungkinan berulangnya kejadian itu di Pantai Esen," katanya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Khamis lepas dilaporkan berkata beberapa sampel telah diambil di tiga lokasi di pantai berkenaan pada 21 Okt untuk dianalisis berikutan keadaan Pantai Esen yang dipenuhi lumpur dan berbau dengan air pantainya berwarna kehitaman.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy