KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi laluan Gopeng ke Kuala Kangsar di Perak sehingga 40 peratus.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek menelan belanja kira-kira RM6.2 bilion itu dijangka siap pada 2028.
“Jajaran Lebuhraya WISE menyediakan laluan alternatif kepada pengguna Terowong Menora yang sering menghadapi kesesakan disebabkan oleh bilangan kenderaan berat yang tinggi.
“Ini berdasarkan profil dan topografi berbukit di kawasan Gopeng ke Kuala Kangsar, Lebuhraya PLUS yang memperlahankan pergerakan kenderaan berat dan seterusnya memberikan kesan terhadap aliran trafik terutamanya di waktu puncak.
“Peralihan trafik dari Lebuhraya PLUS kepada WISE sebenarnya membantu menyuraikan kesesakan trafik di Lebuhraya PLUS dan juga memberikan alternatif kepada pengguna tanpa sebarang komitmen kewangan daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian Konsesi Projek Lebuhraya WISE di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Azman Ibrahim.
Pada 5 Sept lepas, Azman bagi pihak kerajaan telah menandatangi Perjanjian Konsesi Lebuhraya WISE bersama syarikat East Coast Road Sdn Bhd (ECRSB) yang mencadangkan projek itu.
Sementara itu, Nanta dalam ucapan pada majlis itu berkata projek Lebuhraya WISE melibatkan lebuh raya bertol dari Kuala Kangsar ke Gopeng melalui Siputeh dan Batu Gajah dengan anggaran 60.88 kilometer (km) secara penswastaan.
Nanta berkata kadar tol yang ditetapkan bagi lebuh raya itu adalah sebanyak 23 sen per km bagi tempoh konsesi selama 55 tahun termasuk empat tahun tempoh pembinaan.
“Kaedah penetapan kadar tol ini adalah unik kerana pertama kali dilaksanakan dalam negara dan ia pastinya memberikan manfaat kepada bakal pengguna lebuh raya kerana tiada kenaikan terhadap perbelanjaan rakyat untuk tempoh yang lama.
“Lebuhraya WISE melibatkan enam persimpangan iaitu dua di Kuala Kangsar, satu di Jerlun, satu di Siputeh dan dua lagi di Gopeng,” katanya.
Selain itu, Nanta berkata Aras Perkhidmatan (LOS) bagi Lebuhraya PLUS di Seksyen Gopeng-Kuala Kangsar adalah pada tahap LOS D dan dijangka mencapai kapasiti penuh (LOS F) menjelang 2030.
Beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) menjangkakan sekiranya Projek WISE tidak dilaksanakan, kerajaan perlu menanggung kos pelebaran Lebuhraya PLUS apabila bilangan trafik mencapai kapasiti maksimum dan seterusnya akan memberi implikasi kewangan yang tinggi kepada kerajaan.
Selain itu, beliau menyatakan sinergi pelbagai pihak dalam pelaksanaan projek ini membuktikan kerjasama erat di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Perak dan pihak swasta yang bukan sahaja memberi manfaat kepada industri lebuh raya, malah mampu menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pengguna lebuh raya itu sendiri.
“KKR berharap agar syarikat konsesi yang diberikan amanah melaksanakan tanggungjawab ini dengan memberikan penekanan kepada aspek kualiti terutamanya dari segi pematuhan spesifikasi piawai, kos dan masa yang ditetapkan serta mengutamakan aspek keselamatan di kawasan tapak pembinaan.
“KKR komited terhadap pelaksanaan projek yang berpaksikan Rakyat MADANI seperti pembinaan Lebuhraya WISE ini dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sentiasa diutamakan selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR,” katanya.
-- BERNAMA